UMNO Perlu Lakukan Anjakan Paradigma, Memenangi Semula Hati Rakyat – Pembahas Wanita

KUALA LUMPUR, 14 Jan – UMNO tidak akan berubah selagi cara berfikir, bertindak dan bekerja masih berada di takuk yang sama serta beretorik.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, Suziyana Mahayuddin berkata, kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) di tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) dan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) bukanlah kayu ukur untuk ramal kejayaan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kita jangkakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini, dapatlah kita meraikan kemenangan UMNO/BN tetapi apa yang kita impikan tidak kesampaian. Sungguhpun begitu, kita terima hakikat.

“Kita jangka kita hebat semasa PRN, dua pertiga menang. Semasa PRK, tujuh menang. Tetapi rupanya, itu bukanlah kayu pengukur yang tepat untuk meramalkan kejayaan serupa di pentas PRU,” katanya ketika berbahas mewakili Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO, petang semalam.

Jelasnya, penurunan sokongan rakyat telah bermula semenjak 15 tahun yang lalu namun tiada sebarang tanda UMNO/BN menyedari akan hal tersebut.

“Dimana silapnya UMNO dalam mencatur strategi dan menggerak langkah? Rasanya dah bagus dah pucuk pimpinan kita atur dan kita pun di bawah menyusun atur mengikut apa yang diarahkan. Kita lakukan yang terbaik. Semestinya apabila dah kalah, bermacam-macam teori keluar.

“Analisis dan sebab musabab timbul seusai PRU memang hangat diperkatakan di kalangan ahli-ahli parti dan khalayak umum. Tetapi sedarlah UMNO tidak akan berubah selagi cara kita berfikir, bertindak dan bekerja masih dalam paradigma masih dalam retorik.

“Penurunan sokongan telah bermula sejak 15 tahun lalu. Kita mula menang besar pada tahun 2004, 198 kerusi selepas itu turun 148, 133 dan akhirnya kalah dua kali berturut-turut. Tetapi kenapa kita dah nampak dah trend penurunan dan masih lagi di takuk yang sama?” katanya lagi.

Dalam pada itu, Suziyana turut mengharapkan agar UMNO membuat perubahan dan anjakan paradigma menurut peredaran zaman.

“UMNO perlu membuat anjakan paradigm dalam menyelusuri cabaran alaf baharu. Terima hakikat. Zaman dah berubah,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.