PRU15 Merupakan Kekalahan Bersama… Pandang Ke Hadapan Perkuat Parti, Hadapi PRN Mendatang

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berpendapat bahawa kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu adalah milik bersama.

Justeru, tidak wajar sekiranya kekalahan tersebut hanya dipertanggungjawabkan ke atas beberapa individu terutamanya Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“PRU ke-15 sudah jadi sejarah. Kita kalah teruk, tersungkur dan tertiarap. Sudah menjadi sejarah tuan-tuan dan puan-puan. Kita malu, sedih dan kecewa namun hairannya, bila kalah hanya seorang sahaja dituding salahnya.

“Kita ada 191 Ketua UMNO Bahagian, Ketua UMNO Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri. Kita ada 27 Majlis Tertinggi (MT). Apabila kalah, kenapa Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sahaja yang dipersalahkan?

“Cuba fikir secara rasional. Tiba-tiba apabila kalah, Ahmad Zahid yang dipersalahkan dan perlu letak jawatan. I had nothing to ‘bodek’ Zahid, I am a party man. Biarlah berlaku adil. Kekalahan itu adalah kekalahan kita bersama termasuk saya,” katanya ketika berbahas mewakili Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO, pagi tadi.

Jelasnya, fokus utama untuk menguatkan parti perlu dijalankan sebaiknya tambah-tambah lagi dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Apa yang perlu kita lakukan selama ini ialah memperkuatkan parti. Tak perlu kita nak ‘jolok’ sana, salah sini. Perbetulkan diri kita kerana kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. Tiga negeri didominasi Pas dan tiga negeri lagi didominasi Pakatan Harapan (PH).

“Itu yang patut kita lihat sekarang ini dan kita patut usaha bagaimana nak mengembalikan semula keyakinan rakyat, pengundi kepada parti kita. Bukan asyik kita nak salahkan antara satu sama lain,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong usul agar jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan untuk mengelak berlakunya perpecahan dalaman sekaligus merosakkan parti.

“Cukup-cukuplah kita berperangai macam hantu raya tidak bertuan. Betul, demokrasi dihalalkan dalam UMNO. Tetapi ada masanya demokrasi ini tidak boleh dilakukan malah akan haram sekiranya mudaratnya itu lebih.

“Veteran sedari awalnya setelah kita kalah PRU ke-15 membuat pendirian bahawa tidak ada kepentingan berlaku pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti. Adakah sebab saya sukakan penyandang jawatan ini sekarang? Tidak. Veteran cintakan UMNO. Inilah satu-satunya parti kita tuan-tuan dan puan-puan.

“Inilah satu-satunya wadah perjuangan kita. Parti ini wajib kita pertahankan. Jangan ada lagi sengketa antara kita. Atas dasar itulah Veteran UMNO menyokong usul yang dibawa oleh Negeri Sembilan, untuk dua jawatan ini tidak dipertandingkan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.