Tolak Pihak Yang Mahu Porak-perandakan Keharmonian UMNO – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 13 Jan – UMNO sentiasa mengamalkan prinsip demokrasi namun seandainya ia disalah gunakan untuk memporak-perandakan keharmonian parti maka ianya harus dihentikan.

Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abdul Rahman Bakri berkata, parti seharusnya memfokuskan kepada usaha memantapkan parti dalam mengembalikan semula sokongan rakyat.

“UMNO sentiasa mengamalkan prinsip demokrasi. Tetapi, seandainya demokrasi ini digunakan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu dengan niat untuk memporak-perandakan keharmonian parti, seharusnya kita menolak sekeras-kerasnya mereka yang berniat jahat ini.

“Marilah kita menghentikan perbalahan dan persengketaan yang wujud di dalam parti kerana usaha pemantapan parti lebih penting untuk kita kembali diterima oleh rakyat. Peranan utama kita ialah membantu Kerajaan Perpaduan dalam isu kos sara hidup dan meningkatkan ekonomi negara,” katanya ketika berbahas mewakili negeri Selangor pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), petang tadi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar pimpinan peringkat atasan parti membuat perubahan drastik seiring dengan perubahan semasa terutamanya dari segi penggunaan media sosial.

“Kita sedar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kita hanya dapat 30 kerusi Parlimen. Natijahnya, kita kena bermuhasabah diri mengapa parti kita selama ini kononnya gah, tetapi kurang mendapat sokongan rakyat terutamanya pengundi muda.

Oleh itu, kita berharap pimpinan UMNO di peringkat atasan membuat perubahan drastik untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti kita dan memperhebatkan penggunaan media sosial dengan segera,” katanya lagi.

UMNO/Barisan Nasional (BN) mula mengalami kemerosotan undi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 apabila berlakunya tsunami politik Cina dan tsunami politik India pada PRU ke-13.

Bahkan, undi UMNO/BN terus merosot pada PRU ke-14 apabila buat kali pertama parti yang memerintah selama 61 tahun itu hanya memperoleh 79 berbanding 133 kerusi Parlimen pada PRU ke-13.

Pada PRU ke-15, saingan sengit berlaku apabila wujudnya sebuah gabungan baharu yang dilihat rakyat mampu untuk menggantikan perjuangan UMNO/BN iaitu Perikatan Nasional (PN).

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.