Kerjasama Tubuhkan Kerajaan Perpaduan Tak Perlu Dijadikan Polemik, Ahmad Zahid Beri Pencerahan

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Polemik dan persoalan yang ditimbulkan oleh beberapa pihak berhubung kerjasama UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan perlu dihentikan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO 2022 hari ini memberi pencerahan dan penjelasan mengapa BN memilih PH berbanding Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memperlihatkan tiada satu gabungan parti yang mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan.

“Pertamanya, kita telah mengadakan rundingan dengan kedua-duanya PH dan PN secara berasingan dua hari selepas PRU15. Dalam perundingan tersebut, kita telah meletakkan beberapa asas utama termasuk dalam soal Islam / Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu dan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu yang perlu disepakati bersama.

“Begitu juga dalam soal pembentukan kabinet. Malah dalam cadangan kita, kita menetapkan agar kerajaan yang dibentuk, ia tidak boleh diidentitikan dengan nama parti. Sebaliknya mestilah dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“PH dalam responnya secara bertulis menyatakan persetujuan terhadap perkara-perkara asas utama yang perlu disepakati. Bagaimanapun PN dalam maklum balasnya hanya menyebut sedia mempertimbangkan perkara-perkara yang telah kita usulkan,” jelas Pengerusi BN itu.

Tambahnya lagi, seperti diketahui umum penolakan PN terhadap titah usulan Yang di-Pertuan Agong untuk dibentuk Kerajaan Perpaduan.

“Penolakan ini disebabkan ketua PN mendakwa telah mempunyai jumlah akuan bersumpah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. Rupa-rupanya akuan bersumpah ini termasuk 10 daripada wakil BN yang telah memenangi kerusi Parlimen pada PRU15, tanpa merujuk kepada parti.

“Ini juga menjadi faktor kenapa kita tidak boleh bersama PN. Belum pun subuh pengkhianatan telah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri. Sedangkan seperti yang saya sebutkan kita telah ada dokumen perjanjian dan akuan bersumpah serta akujanji. Kerusi yang dimenangi adalah hak mutlak parti.

“Atas sebab itu, kita berbincang dan bersetuju untuk membentuk kerajaan bersama PH dengan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tetapi ujarnya, apabila keputusan bentuk kerjasama itu dicapai, muncul pula suara-suara dalaman parti dengan hujah seperti di dalam Perhimpunan Agung UMNO telah dibuat keputusan ‘No Anwar, No Dap’.

“Namun kelompok yang bersuara ini, tidak pula menyebut ‘No Bersatu’. Kononnya dibangkitkan lagi tuduhan kita melanggar keputusan Perhimpunan Agung yang telah menyatakan ‘No Anwar, No Dap’. Mereka sengaja melupakan No Bersatu,” bidasnya.

Namun katanya, sebagai sebuah parti berperlembagaan, kepimpinan parti membuat keputusan sesuai dengan Fasal 9.1 Perlembagaan UMNO yang memberi kuasa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengurus tadbir dan membuat keputusan melibatkan kepentingan parti ketika ketiadaan Perhimpunan Agung UMNO.

“Selain itu, pendirian kita adalah selaras dengan perakuan yang kita berikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menerima titah usul Baginda supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan. Pada masa yang sama PH juga bersetuju dengan titah baginda sebaliknya PN menolak titah berkenaan.

“Makanya, sesuai dengan Perlembagaan Parti dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, mesyuarat MKT telah membuat keputusan berdasarkan kaedah mempertimbangkan mudarat kecil dan mudarat besar kepada parti. Malah kita juga turut membuat pertimbangan berasaskan prinsip demokrasi.

“PH mempunyai jumlah kerusi terbanyak, iaitu 82 berbanding 73 ketika itu yang dimenangi oleh PN. Rakyat telah memberikan mandat lebih besar kepada PH dan atas semangat demokrasi kita memilih jumlah majoriti yang lebih besar. Setelah dibahaskan, MKT membuat ketetapan untuk memilih bersama PH bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya yang turut mendedahkan hanya dua ahli MKT tidak bersetuju dengan keputusan yang diambil. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.