MedSos Mesti Diperkasa… Puteri UMNO Sedia Teruskan Perjuangan – Zahida

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan mengharapkan agar Puteri UMNO terus diperkasakan terutamanya dalam penglibatan Media Sosial (MedSos).

Ini kerana katanya Puteri UMNO tidak boleh ketinggalan jauh terutamanya Medsos dan mesti tularkan terus kepada kumpulan yang dikehendaki.

“Media sosial mesti diperkasakan dan kita tidak boleh ketinggalan lagi di Medsos. Kita reform yang sedia ada. Kita kena fokus dan segmentasikan viraliti terus kepada kumpulan sasar … bukan lagi secara rawak.

“Kita minta kepimpinan parti sediakan dana khusus secara konsisten bagi memastikan MedSos kita bukan ‘cap ayam’ dan bermusim. Malu kita sebagai sebuah parti yang mempunyai keahlian teramai tapi tidak kalah di Media Sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penggulungan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini petang tadi.

Tambah Zahida, UMNO adalah parti perjuangan dan prinsip ini mesti dipertahankan selagi hayat dikandung badan.

“Bagi memastikan Puteri terus relevan kepada anak muda, dalam masa terdekat Puteri UMNO akan melakukan ‘post mortem’ khusus bagi mengkaji faktor sebenar.

“Apakah yang menjadi penyebab anak muda tidak bersama kita pada PRU lepas dan apakah faktor yang mempengaruhi trend pengundian mereka?” ujarnya.

Dalam masa yang sama Zahida turut menzahirkan penghargaan kepada pembahas yang memberikan pandangan tentang hala tuju politik Puteri UMNO.

“Syabas dan terima kasih diucapkan kepada semua pembahas yang lantang menyuarakan pendirian dan hala tuju politik Puteri UMNO. Semua pandangan yang disuarakan dan mendengar dengan teliti serta mengambil maklum dan dihargai.

“Kita yakin inilah suara hati akar umbi UMNO yang membuktikan politik Puteri UMNO masih teguh dan utuh walau dilanda pelbagai badai pasca PRU ke15,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.