Kaji Semula Had Umur Undi 18, Tahap Kematangan Dan Pemahaman Pilihan Raya Rendah

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Wanita UMNO Negeri Kedah hari ini berharap pemimpin parti yang berada dalam kerajaan hari ini untuk menggubal kembali had umur mengundi 18 tahun.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai, Datuk Norma Awang berkata ini kerana tahap kematangan dan pemahaman tentang pilihan raya golongan ini masih rendah.

“Tahap kematangan dan pemahaman tentang pilihan raya, pengundian, sistem demokrasi, kenapa mengundi, implikasi pengundian ke atas pembentukan kerajaan dan pembentukan polisi masih di tahap yang merah dan mentah.

“Inilah isu sosial terbesar yang sedang melanda negara sebab itu kita mahu sarankan kepada penggubal undang-undang, dan wakil UMNO yang duduk di dalam kerajaan, ubah semula had umur mengundi. 18 tahun dalam konteks negara ini… pakaian dalam emak bapa yang beli… dan mereka itu baru sahaja selesai SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Jangan dibanding usia 18 tahun anak-anak kita yang ada dalam negara dengan mereka yang berada di luar negara. Di kebanyakan negara barat, di usia 18 tahun sudah ramai yang mengikuti pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah walhal dalam negara kebanyakan remaja kita sebaliknya,” katanya yang bertindak sebagai pembahas dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 sebentar tadi.

Beliau berkata dengan itu, bagi memulihkan semula jaminan masa depan bangsa dan agenda jangka panjang pembangunan negara, disarankan had umur mengundi dinaikkan ke angka 23 tahun, setidaknya pengajian ijazah pertama.

“Itulah situasi yang terlebih baik buat semua,” ujar beliau.

Norma dalam pada itu berkata 98 peratus kandungan TikTok dan media sosial berbaur fitnah, hasutan dan lencongan yang telah disiarkan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menjadi punca pengundi umur 18 dan pengundi pertama kali tidak mengundi Barisan Nasional (BN).

“Bukan sekadar mencemuh malah mereka yang di alam keseronokan memuja pemimpin berkelakuan ‘loklaq’ (loghat Kedah) dan biadap. Caci-maki dan sumpah seranah dijulang, fakta dan kenyataan dicampak buang.

“Benar, UMNO dan BN tidak cukup ranggi dan ‘loklaq’ bagi menawan hati dan aspirasi anak muda yang berbudaya jalanan dan ikut ‘trending’ semasa.

“Apa lagi harapan dan jaminan yang kita ada? Kesimpulannya, tidak ada lagi ruang untuk UMNO dan BN untuk menang dalam apa jua edisi pilihan raya termasuk PRN (Pilihan Raya Negeri) yang bakal berlangsung di enam buah negeri.

“Sebab UMNO tidak hebat dalam mengamalkan sumpah seranah, caci maki dan fitnah. Amat benar telahan Saidina Ali Karamullah, jika mahu dilihat masa depan negara lihatlah generasi anak muda yang ada pada hari ini,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.