PAU 2022 Untuk Bermuhasabah… Terima Kekalahan, Elak Tunding Jari

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini menerapkan tujuan utamanya iaitu untuk bermuhasabah di atas segala kejadian yang berlaku terutamanya kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kekalahan tersebut merupakan satu perkara yang mengejutkan kerana parti itu menang bergaya pada tujuh siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

“Kita nak muhasabah terhadap apa yang berlaku. Satu perkara yang amat memeranjatkan kami kerana saya ingin mengakui bahawa kami tidak sangka hanya dapat 30 kerusi. Tiada sesiapa pun yang meramalkannya.

“Kami menang dengan bergaya pada tujuh PRK yang bermula di Cameron Highlands, Rantau, Semenyih, Slim, Chini, Tanjung Piai dan Kimanis. Selepas itu, PRN Melaka kami memperoleh 21 daripada 28 kerusi kemudian di Johor, 40 daripada 56 kerusi.

“Jadi, oleh kerana kemenangan yang besar di tujuk PRK bersiri kemudian kemenangan besar di Melaka dan Johor, tiada sesiapa meramalkan UMNO/BN akan dapat hanya sedikit kerusi pada PRU ke-15 ini,” katanya menerusi wawancara eksklusif bersama MalaysiaGazette.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan itu turut berkata, adalah tidak patut sekiranya semua pihak menuding jari kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas kekalahan yang berlaku.

“Saya kira perkara ini amat memeranjatkan kita dan kalau kita ingin menunding jari kepada sesiapa, saya ingin nyatakan bahawa kemenangan UMNO/BN di tujuh PRK itu bersama Presidennya, Ahmad Zahid yang mengepalai.

“Jadi, kalau tiba-tiba nak menyalahkan beliau kerana gagal di PRU lalu saya kita ia bukanlah satu perkara yang boleh diterima kerana beliau bukan poster boy.

“Oleh itu, akhirnya pada saya secara peribadi, tidak perlulah menyuruh sesiapa meletakkan jawatan. Kita menerima kekalahan itu dan bertanggungjawab untuk memperbaiki serta mencari sebab,” katanya lagi.

Jelasnya, pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut memberikan impak kepada parti ketika PRU ke-15 lalu.

“Ada orang kata di tujuh PRK dan dua PRN tersebut Datuk Seri Najib masih ada dan sekarang ini beliau dipenjarakan. Itu membawa erti bahawa orang yang menjadi mastermind kepada pemenjaraan beliau berjaya dalam erti kata lain, itu adalah satu sebab mengapa kita tidak menang. Sebab ‘tukang kempen’ utama kita berada dalam penjara.

“Lantas mereka lihat warna pimpinan UMNO sedemikian rupa (terlibat dalam gejala rasuah) dan melihat Perikatan Nasional (PN) sebagai parti yang BeSt (bersih dan stabil). Walhal pihak sana tiada apa yang best pun.

“Saya difahamkan di sebuah negeri terang-terangan mereka memberi RM150 kepada orang-orang muda, RM300 kepada siswa-siswi, RM600 kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan RM600 kepada pesara dihantar ke rumah di sebuah negeri mereka. Jadi, bersih apa itu?” soalnya lagi.

UMNO/Barisan Nasional (BN) mula mengalami kemerosotan undi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 apabila berlakunya tsunami politik Cina dan tsunami politik India pada PRU ke-13.

Bahkan, undi UMNO/BN terus merosot pada PRU ke-14 apabila buat kali pertama parti yang memerintah selama 61 tahun itu hanya memperoleh 79 berbanding 133 kerusi Parlimen pada PRU ke-13.

Pada PRU ke-15, saingan sengit berlaku apabila wujudnya sebuah gabungan baharu yang dilihat rakyat mampu untuk menggantikan perjuangan UMNO/BN iaitu Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.