Istilah Kemajuan Dalam Nama KKDW Beri Objektif Lebih Jelas Dalam Kemajuan Desa Dan Wilayah – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Perubahan penggunaan istilah pembangunan kepada kemajuan ke atas nama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membawa signifikan tertentu kepada kementerian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kedua-dua istilah itu merujuk kepada bergerak ke depan dan melakukan penambahbaikan di wilayah khusus, dengan istilah pembangunan lazimnya merujuk penambahbaikan di beberapa kawasan dan mempunyai dimensi makna yang luas.

 

Menurutnya istilah kemajuan pula ialah bahagian daripada pembangunan, dan lebih merujuk bergerak ke depan ke arah objektif yang lebih jelas.

“Inilah hasrat dimahukan kerajaan agar kemajuan dapat diukur dengan spesifik dan lebih jelas dalam kemajuan desa dan wilayah,” katanya dalam hantaran terkini di Facebook beliau hari ini.

Pada 10 Dis lepas, Ahmad Zahid mengumumkan nama kementerian yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), dipinda kepada KKDW dengan nama dalam Bahasa Inggeris adalah Ministry of Rural and Regional Development.

Ahmad Zahid berkata penjenamaan KKDW adalah dengan kesedaran perlunya proses pengislahan yang diikuti dengan pembaharuan.

Timbalan Perdana Menteri turut mengetengahkan kaedah dan formula SMART iaitu Specific – Measurable – Attainable – Relevant – Time Bound sebagai ukuran dalam mengukur kemajuan dan pembangunan.

Ahmad Zahid berkata dalam konteks kemajuan, Specific bermaksud jelas objektif untuk dicapai manakala Measurable ialah jelas boleh diukur dengan pelbagai ukuran tepat dan dapat dipertanggungjawab.

Katanya Attainable bermaksud dapat dicapai secara realistik dengan Relevant pula menjurus kepada masyarakat dan memberikan impak sosial terbesar terhadap golongan sasar.

“Time-Bound pula ialah mempunyai jangkauan masa untuk dicapai segera agar tidak terhambat oleh cabaran yang berlaku,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata melalui kerangka dan formula SMART, agenda kementerian dapat dilaksanakan dengan lebih berstrategik seiring konsep imperatif DESA iaitu data dan digital; ekonomi, sosial dan sahsiah serta akses dan alam sekitar yang diperkenalkannya sebelum ini.

Ahmad Zahid seterusnya menyarankan supaya analisis SWOT (Strengths, Weaknesses, Opportunities, Threats) digunakan dalam membantu organisasi mengenal pasti kekuatan, kelemahan, cabaran dan peluang bagi menghasilkan yang terbaik untuk seluruh agensi di bawah kementerian itu.

Timbalan Perdana Menteri juga mahu usaha mendapatkan petanda aras atau contoh terbaik dalam aspek kemajuan desa tidak hanya tertumpu kepada Korea Selatan semata-mata, sebaliknya diperluaskan lagi dengan menjadikan amalan desa makmur di Jepun, Taiwan, Thailand, Indonesia, Eropah dan sebagainya sebagai panduan.

Aspek ini penting untuk memberikan perspektif yang lebih menyeluruh dan negara juga mendapat manfaat terbaik, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.