Mengikut Perlembagaan UMNO Sesiapa Boleh Bertanding Dalam Pemilihan Parti – Isham Jalil

SEREMBAN, 5 Jan – Mengikut Perlembagaan UMNO, sesiapa yang mahu bertanding di dalam pemilihan parti tidak boleh dihalang termasuklah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil.

Jelasnya, meskipun ada beberapa bahagian mengusulkan supaya dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan pada pemilihan kelak, ianya masih perlu ditaruhkan seperti termaktub dalam perlembagaan parti.

“Selepas kita berbincang, kita tidak boleh halang sesiapa bertanding walaupun ada beberapa bahagian yang mengusulkan agar jawatan ini (Presiden dan Timbalan Presiden) tidak dipertandingkan.

“Tetapi kalau mengikut Perlembagaan UMNO, siapa yang mahu bertanding kita tidak boleh halang,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum di Program Jelajah Kesiapsiagaan Menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Penjelasan Isu-Isu Semasa di sini, semalam.

Menurut Isham, beliau faham mengapa ada beberapa bahagian mengusulkan agar dua jawatan terpenting parti ini tidak dipertandingkan dan turut menegaskan bahawa isu ini dibawa oleh orang luar parti.

“Saya faham kenapa ada sesetengah bahagian bangkitkan perkara ini kerana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu Perikatan Nasional (PN) menggunakan duit untuk kalahkan kita.

“Mereka dapat empat juta undi Melayu sedangkan kita cuma dapat tiga juta dan yang kalahkan kita tempoh hari bukan Pakatan Harapan (PH) tetapi PN. Sebanyak 120 kerusi kita tandingi, kalah 85 kerusi kepada mereka.

“Sesetengah bahagian mengusulkan agar jawatan ini tidak dipertandingkan untuk menjamin kedudukan kerajaan hari ini yang cuba diruntuhkan bagi merebut kuasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham turut berpendapat bahawa keputusan masih terletak di tangan akar umbi.

“Tetapi, keputusan ini masih lagi di tangan akar umbi kerana bukan kita yang membawa isu agar jawatan ini dipertandingkan atau tidak. PN yang paling lantang membawa isu ini.

“Kita dalam UMNO sudah semestinya mengetahui bahawa kita tidak boleh menghalang sesiapa pun yang mahu bertanding tanpa meminda perlembagaan dan isu ini dibawa oleh PN supaya kita bertelingkah dan berpecah dalam,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.