Jangan Terperangkap Naratif Sempit Musuh Yang Mahu UMNO Berpecah-Belah – Khairul Azwan

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun mengingatkan ahli parti agar tidak terperangkap dalam naratif sempit musuh yang sememangnya mahukan UMNO berpecah-belah.

Jelasnya, UMNO adalah antara parti yang sangat demokratik di Malaysia terutamanya dalam memastikan suara-suara ahli melalui perwakilan dibawa ke perhimpunan agung bagi memuktamadkan sesuatu keputusan.

“UMNO adalah sebuah wadah politik yang sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi. UMNO memastikan suara ahli-ahli melalui perwakilan mereka dibawa ke perhimpunan agung bagi memuktamadkan sesuatu keputusan.

“Ini bukan proses baharu. Bahkan UMNO adalah antara parti yang sangat demokratik di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Khairul Azwan turut menegaskan bahawa sebarang perubahan pucuk pimpinan yang membawa risiko kepada ketidakstabilan politik negara wajib dielakkan.

“Perlu diingat bahawa perubahan pucuk pimpinan tidak dapat merubah kedudukan 30 kerusi yang telah dimenangi UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Negara akan terus ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lima tahun lagi.

“Sebarang perubahan pucuk pimpinan yang akan membawa risiko kepada ketidakstabilan politik negara sehingga menyebabkan keruntuhan Kerajaan Perpaduan wajib dielakkan sama sekali. Negara dan rakyat tidak boleh dibelenggu dengan keadaan politik tidak stabil di waktu ekonomi masih belum pulih sepenuhnya serta risiko penularan COVID-19 yang masih wujud,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa majoriti ahli parti mahukan kestabilan dan peranan UMNO yang besar dalam pentadbiran kerajaan.

“Kepimpinan dan kebijaksanaan Presiden parti telah memastikan UMNO terus relevan dan berada dalam teraju kepimpinan Kerajaan Perpaduan. Adakah perlu bagi UMNO merubah kedudukan yang ada ini?

“Saya yakin majoriti ahli mahukan kestabilan dan peranan UMNO yang besar dalam pentadbiran kerajaan. Makanya, kedudukan dan kepimpinan YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajib dikekalkan.

“Janganlah ahli-ahli UMNO terperangkap dalam mainan naratif sempit dan jelik oleh musuh-musuh parti seperti PPBM dan Pas yang sememangnya mahukan UMNO berpecah-belah,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan bahawa Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berpendapat Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan sebaliknya usaha perlu dilakukan untuk mengukuhkan parti selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas PRU ke-15.

Jelasnya, dengan kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, ia adalah platform terbaik untuk mendekati dan membina semula keyakinan penduduk luar bandar terhadap keupayaan UMNO membela rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.