PAU 2022 Iltizam Kembalikan Keyakinan, Kepercayaan Rakyat Terhadap UMNO – Alfie

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Alfie Zainal percaya bahawa kesemua ahli parti mempunyai iltizam terbaik dalam usaha untuk memulihkan UMNO terutama selepas menempuhi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Katanya, disebabkan itu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini sebagai medan terbaik dalam membina kembali azam tersebut bagi memastikan parti terus relevan dan menjadi pilihan rakyat Malaysia.

“Saya yakin majoriti ahli umumnya sepakat ingin UMNO pulih dari kekalahan PRU15 yang lalu. Sama-sama kita bina kembali parti ini dan kita kena berazam untuk kembali menjadi parti yang disayangi oleh orang Melayu di negara ini.

“PAU ini untuk muhasabah diri dan meneliti usul-usul yang akan dibawa terutamanya usul solidariti UMNO seperti yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Usul yang diketuai oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Usul solidariti ini amat penting untuk semua perwakilan halusi kerana ia akan membentuk masa depan parti pasca PRU15,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau dalam pada itu, meluahkan penghargaan pada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang terbuka dalam menerima sebarang usul selagi ianya memberi manfaat kepada parti.

“Ini membuktikan Presiden UMNO berjiwa besar dan amat menyayangi UMNO sebagai parti yang mendokong prinsip demokrasi.

“Lebih-lebih lagi jika ada usul yang dibawa tidak dilihat sebagai memihak kepada kepimpinan beliau selagi usul itu tidak melanggar perlembagaan parti,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.