Semoga Allah Sejahterakan Negara, Kestabilan Ekonomi Dan Politik Pada 2023 – Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendambakan tahun 2023 memberikan kemakmuran kepada negera tercinta.

Katanya, sebagai pemimpin negara beliau mengharap Malaysia dihindarkan daripada penyakit berjangkit yang akan memberikan impak kepada rakyat dan ekonomi negara.

“Sebagai salah seorang yang berkhidmat untuk Raja, Negara dan Rakyatnya, saya mengharapkan agar Allah terus memberikan kesejahteraan kepada negara kita Malaysia serta kestabilan ekonomi dan politik yang berpanjangan.

“Semoga 2023 merupakan tahun yang lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya walaupun saya sedar, sebagai hamba Allah sudah tentu banyak cabaran dan ujian yang sedia menanti.

“Semoga Allah melindungi kita semua dari wabak penyakit berjangkit yang berbahaya dan memudaratkan. Aaminnnnnn,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu turut berkongsi meluangkan masa bersama keluarga menjelang tahun baru ini di Kuala Lumpur.

“Menghabiskan beberapa hari terakhir tahun 2022 bersama anak-anak dan cucu-cucu bercuti hanya di Kuala Lumpur.

“Malam tadi saya berkesempatan melayan cucu-cucu untuk melihat pertunjukan ‘fountain’ di Taman KLCC,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.