Penerangan UMNO Kedah Tekad Perkasa Parti Hadapi PRN

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Penerangan UMNO Kedah bertekad untuk memperbaiki gerak kerja sebaiknya bagi memperkasa parti menuju ke Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, mengambil pengajaran daripada keputusan Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN), ianya tidak sesekali mematahkan semangat kepimpinan dan akar umbi di negeri ini untuk bangkit bagi menawan kembali hati pengundi.

“Penerangan UMNO negeri dan juga Perhubungan Negeri lebih fokus untuk mengemaskan rumah kami dahulu kemudian barulah bersedia untuk meneruskan langkah yang seterusnya.

“Kami memahami akan cabaran yang perlu dihadapi dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan keputusan PRU15 Negeri Kedah bagi saya tidak memuaskan.

“Kita dengan segera perlu turun ke bawah menyediakan kembali jentera yang bagi saya berada dalam keadaan kelesuan apabila menerima keputusan PRU15 yang tidak disangka-sangka,” katanya ketika ditemui UMNO Online, baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, PRU15 lalu juga menyaksikan pola sokongan rakyat kepada parti-parti yang bertanding berubah meskipun beberapa bulan sebelum itu menyaksikan BN menang besar ketika PRN Melaka dan Johor.

“Selera pengundi itu dinamik, berubah-ubah khususnya pengundi muda kalau sebelum (PRU15) ini mereka sokong Perikatan Nasional (PN) atas apa juga alasan mungkin lagi dua atau tiga bulan selera mereka berubah berdasarkan tawaran yang kita buat, transformasi parti yang bakal dilaksanakan.

“Kita optimis dan percaya bahawa senario atau voting behaviour rakyat ini berubah-ubah, memang dinamik dan boleh berubah dengan sekelip mata.

“Contoh BN menang bergaya di PRN Melaka dan Johor tidak sampai beberapa bulan keadaan itu boleh berubah dan UMNO/BN hakikatnya bukan lagi menjadi pilihan utama orang Melayu dan juga rakyat,” ujar beliau.

Shaiful pada masa sama turut menempelak Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengeluarkan kenyataan untuk PN menawan negeri itu pada PRN kelak.

“Bagi saya PN pun tidak boleh merasa begitu yakin walaupun Menteri Besar meletakkan keyakinan bahawa mereka akan menang 36-0 solid.

“… dan dia juga tidak boleh berasa bangga kerana isu di negeri Kedah ini banyak juga dia tidak selesaikan tapi saya tidak mahu melihat perkara itu lagi pada waktu dan ketika ini,” uajr beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.