PN Belanja Berbilion Tapi Masih Tak Mampu Bentuk Kerajaan – Isham

 

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai parti munafik kerana mengaitkan UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan rasuah sedangkan mereka yang melakukannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, Ahli Parlimen PN sepatutnya malu kerana meskipun berbilion dibelanjakan demi mendapatkan undi namun mereka masih tidak berupaya untuk menubuhkan kerajaan.

“Puak-puak ini dia dulu kata ‘UMNO rasuah’ tapi sekali dia pula rasuah pengundi, menang kerana itu kemudian tuduh orang lain buat rasuah, itu sikap munafik.

“Daripada dahulu itulah cerita dia penyamun, penyangak, rasuah. Belanja bilion-bilion tapi masih tak jadi kerajaan menang 73 kerusi seperti saya kata ini adalah kuasa Tuhan kerana dia menang dengan cara rasuah pengundi.

“Saya hendak kata kepada Ahli Parlimen PN, 73 orang ini tak malu ke jadi wakil rakyat sebab menang kerana rasuah pengundi?” soal beliau menerusi video dikongsi di hantaran Facebook.

Isham pada masa sama turut membangkitkan sumber dana yang diperolehi PN bernilai RM600 bilion.

Jelas beliau ini kerana gejala rasuah tidak seharusnya dibiarkan berleluasa kerana ianya akan memberikan kesan negatif kepada masa depan negara.

“Kalau benarkan ia berlaku di Malaysia ini jadinya semua orang tahu kalau nak menang pilihan raya cari duit bilion-bilion kena bayar pengundi.

“Sakau sana sini cari duit bilion-bilion lepas itu beri kepada pengundi, menang pilihan raya dapat kuasa jadi kerajaan, apa dia buat? Rasuah lagi.

“Jadi negara ini hendak pergi ke mana? Sebab itu saya tanya berkenaan RM600 bilion ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Isham turut menafikan berkenaan propaganda yang dibangkitkan pihak tertentu berkenaan penggubalan Perlembagaan agar jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan.

“Saya dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sudah jawab perkara ini adalah fake news, mana ada kita hendak buat begitu.

“… yang buat ini adalah broker Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sibuk bercakap berkenaan jawatan ini orang UMNO atau PN? Orang yang sudah kena gantung enam tahun itu la yang paling sibuk sekali, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pun sama campur hal pemilihan,” katanya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.