Perkasakan Kembali UMNO, Lihat Ke Hadapan Penuhi Tuntutan Semasa – Aslan Fadli

SEREMBAN, 29 Dis – Proses peremajaan yang diharapkan dalam UMNO adalah suntikan semangat golongan muda yang dapat membawa pembaharuan dari segi strategi, ideologi serta pendekatan sekali gus memenuhi aspek persekitaran semasa generasi masa kini.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Kalabakan, Aslan Fadli Samsul Alang, peremajaan parti bukan bermaksud penyisihan golongan lama semata-mata sebaliknya paduan bersama golongan lama yang berpengalaman dan golongan muda untuk memperkasakan lagi UMNO di peringkat nasional dan mempopularkan parti di peringkat akar umbi.

“Golongan muda sememangnya berharap adanya pembaharuan dengan lebih banyak pemimpin mewakili generasi muda, berjuang membawa aspirasi orang muda dan berani memperjuangkan hak-hak Melayu.

“Kita harus melihat ke hadapan terutamanya pengundi anak muda.

“Kalau katakan peremajaan parti itu menggantikan orang-orang lama sahaja, itu tidak tepat. Peremajaan ini bermaksud ideologi, strategi, pendekatan dan pengisian UMNO mesti diperkemas dengan input-input baharu agar parti menjadi segar untuk memenuhi tuntutan semasa,” katanya ketika di temui UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama kata Aslan Fadli lagi, UMNO harus memainkan peranan agar dapat menambat hati pengundi muda yang semakin bertambah setiap tahun.

“Pengundi muda sekarang sangat bijak dan mereka boleh mengakses maklumat dengan pantas di mana-mana sahaja. Namun UMNO harus dan perlu mengambil hati mereka yang sekarang dan akan datang kerana ianya semakin bertambah.

“Paling penting tambat hati mereka bukan sahaja melalui sentuhan peribadi secara fizikal, bahkan juga di media sosial,” jelasnya.

Ujarnya, golongan muda hari ini lebih mudah tertarik kepada isu-isu yang disensasikan berbanding fakta sebenar dan sentuhan secara peribadi di media sosial dilihat satu daripada mekanisme yang mampu meraih semula sokongan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.