Memperkasa Pembangunan Lestari Luar Bandar Perlu Inklusif – Zahid

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan adalah menjadi tanggungjawab kepada semua lapisan rakyat bagi memastikan kelestarian pembangunan desa dan wilayah.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pembangunan lestari luar bandar di negara perlu berlangsung untuk proses berterusan bagi perubahan dan transformasi kawasan kawasan luar bandar yang perlu meliputi program-program bersifat inklusif.

“Maka, dicadangkan situasi ini perlu mengambil kira aspek tersebut untuk dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. Peningkatan tadbir urus atau tata kelola yang baik lagi efisien di peringkat kawaaan setempat, daerah, dan wilayah dengan menghubungkan sektor swasta, masyarakat sivil dan agensi kerajaan yang strategik.

“Pembangunan sektor-sektor produktif yang merujuk kepada bidang pertanian, industri bukan pertanian, perlombongan, pelancongan, sumber alam semula jadi, pengurusan alam sekitar dan sebagainya.

“Pembangunan institusi dan keupayaan beberapa bidang tujahan termasuk bidang pendidikan, latihan, kesihatan, penyelidikan lanjutan, pemasaran, simpanan dan kredit, pengangkutan, alam sekitar dan sebagainya.

“Pembangunan infrastruktur desa termasuk jalan-jalan raya, elektrik, telekomunikasi, perumahan, air, kesihatan awam dan sebagainya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau kesemua naratif, definisi, preskripsi, deskripsi mengenai ciri pembangunan desa dan wilayah perlu dihalusi kerana ini akan mempengaruhi wacana dan naratif masyarakat desa.

Ujar Ahmad Zahid penegasan ini penting untuk menyerlahkan kualiti inklusif yang merupakan bahagian daripada entiti masyarakat yang lebih besar yang perlu diberikan keutamaan berterusan oleh agensi, kementerian dan masyarakat civil.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan memastikan aspek ini diterap dan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat desa dan wilayah.

“Hal ini juga untuk memastikan imperatif konsep desa yang pernah saya kemukakan sebelum ini bergerak sejajar dengan misi dan visi Kementerian,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline