Pemimpin UMNO/BN Sertai Kerajaan Perpaduan Komited Laksana Amanah, Keutamaan Demi Rakyat – Adzly Manas

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Peguam yang juga aktivis politik dan masyarakat, Adzly Ab Manas berkata proses demokasi mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah berjalan dengan amat baik, teratur dan aman selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Ini kerana katanya, pembentukan kerajaan perpaduan dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah langkah penting dalam menamatkan kemelut ketidaktentuan politik.

“PRU15 telah selesai, kerajaan Persekutuan telah ditubuhkan. Perdana Menteri pun telah mengangkat sumpah dihadapan YDPA dan jemaah menteri telah dilantik di mana ia juga  melibatkan pemimpin UMNO.

“Maka ia menjadi kewajiban untuk pemimpin UMNO yang dipilih dalam kerajaan Persekutuan ini menunjukkan kesungguhan dan kebijaksanaan dalam kepimpinan mentadbir negara ini.

“Pemimpin UMNO yang dipilih dalam Kerajaan Perpaduan ini wajib berkhidmat dengan cemerlang dengan intergriti tinggi demi untuk rakyat dan negara Malaysia,” katanya kepada UMNO Online, baru-baru ini.

Seterusnya kata Adzly lagi, kerajaan perlu mengambil langkah yang berani jika tidak mahu melihat rakyat terkesan akibat daripada ekonomi yang tidak menentu pada tahun hadapan.

“Rakyat tidak mahu lebih susah di masa mendatang terutama tahun hadapan, di mana dijangka negara dan dunia akan menghadapi krisis ekonomi dan makanan yang lebih teruk dari tahun ini.

“Tahun hadapan ekonomi berkembang perlahan namun tidak sehingga berlaku kemelesetan berikutan sokongan daripada kepelbagaian ekonomi negara ini, di samping persekitaran kadar inflasi yang rendah disokong oleh subsidi kerajaan dan pemulihan ekonomi domestik,” katanya.

Ujarnya, pengajaran yang diperoleh dalam empat tahun lalu seharusnya memberikan kematangan kepada parti politik untuk bekerjasama dan membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil selepas PRU15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.