Lakukan Pembaharuan, Muhasabah… Kembalikan Semula Sokongan Rakyat – Isham Jalil

 

GEORGE TOWN, 28 Dis – Untuk kembali menguatkan UMNO, banyak pembaharuan perlu dilakukan selain bermuhasabah, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil.

Jelasnya, tindakan menyalahkan pihak lain di atas kekalahan yang berlaku tidak sepatutnya berlaku kerana parti perlu terus bergerak ke hadapan.

“Kita perlu membuat pembaharuan dan beberapa perubahan untuk menguatkan semula UMNO. Dalam bermuhasabah, itulah perkara yang sepatutnya kita lakukan.

“Kita tidak boleh asyik menyalahkan orang lain selepas kekalahan kita dan dalam masa yang sama bersedia bergerak ke hadapan terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

“Salah satu tugas yang berat adalah memikirkan cara untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO. Ini adalah perkara yang sepatutnya kita lakukan,” katanya kepada UMNO Online sejurus Program Kesiapsiagaan Menjelang PRN Dan Isu-Isu Semasa bersama Ketua-Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa maklum balas yang diterima semasa perjumpaan tersebut amat memberansangkan dan ia sepatutnya diteruskan.

“Pada Selasa saya berjumpa dengan Ketua-Ketua Penerangan daripada Pulau Pinang. Maklum balas yang saya terima amat memberansangkan daripada akar umbi.

“Sebagai Ketua Penerangan daripada bahagian sudah semestinya mereka mengetahui apa masalah yang dihadapi terutamanya di kawasan mereka sendiri. Jadi, kita berjaya untuk mendapatkan maklumbalas terus daripada mereka.

“Komunikasi tersebut berlaku secara dua hala jadi saya maklumkan kepada mereka berkenaan keputusan kepimpinan atas mengenai beberapa perkara. Ini adalah komunikasi yang baharu dan kita akan teruskan,” katanya lagi.

Menurut Isham, perjumpaan bersemuka seperti ini penting agar segala pandangan dapat diutarakan dalam pembentukan dasar daripada pihak atasan.

“Sememangnya kita berkomunikasi secara digital apabila berjauhan. Tetapi, pertemuan secara bersemuka ini penting kerana mereka boleh berbincang dan mengutarakan pandang secara terbuka.

“UMNO mempunyai akar umbi yang ramai iaitu tiga juta orang. Maka, pandangan daripada mereka ini amat penting untuk dibawa ke atas dalam membentuk dasar yang sudah semestinya akan memberikan kesan kepada akar umbi dan rakyat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Isham turut menjelaskan bahawa rata-rata daripada mereka membangkitkan isu kesiapsiagaan parti menempuhi PRN yang akan tiba tidak lama lagi.

“Rata-rata membangkitkan isu kesiapsiagaan dan apa yang sepatutnya dilakukan menjelang PRN. UMNO ini adalah parti lama jadi dah banyak kali kalah dan menang. Selepas kalah itu banyak perkara yang kita perlu muhasabah dan betulkan.

“Secara umumnya, mereka mengambil pendekatan yang positif kerana sudah sedia maklum akan perkara yang sepatutnya dilakukan dalam usaha penambahbaikan parti,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.