Akar Umbi Penentu Jawatan Presiden Dan Timbalan Dipertandingkan… Bukti Presiden Terbuka, Demokratik – Isham Jalil

 

ALOR SETAR, 28 Dis – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai penentuan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan ataupun tidak ditentukan oleh para perwakilan menunjukkan bahawa beliau bersifat terbuka serta demokratik.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berpendapat, beliau memahami mengapa sesetengah perwakilan bertindak untuk mengusulkan perkara sedemikian menjelang pemilihan UMNO kelak.

“Itu adalah satu kenyataan yang sangat demokratik. Saya tengok Presiden sangat terbuka dalam hal-hal ini. Kita ada tiga juta akar umbi dan terpulang kepada para perwakilan untuk menentukan sama ada dua jawatan tersebut dipertandingkan atau tidak.

“Saya tengok ada sebab juga mengapa perwakilan mahu jawatan tersebut tidak dipertandingkan malah saya tengok ada suara-suara daripada luar parti terutamanya Perikatan Nasional (PN) dan penyokong mereka mahu jawatan tersebut dipertandingkan.

“Saya tidak tahu apa agenda mereka. Mungkin nak menghuru-harakan UMNO dan sebagainya,” katanya kepada UMNO Online sejurus selepas Program Kesiapsiagaan Menjelang PRN Dan Isu-Isu Semasa bersama Ketua-Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kedah.

Jelasnya, perkara tersebut masih bergantung kepada akar umbi dan para pemimpin tidak boleh menghalang apa jua usul yang mahu dikemukakan.

“Kita dalam UMNO, kita tahu perkara ini dan tidak mahu parti ini huru-hara. Apa akan jadi sekiranya ada pihak luar cuba untuk mengganggu pemilihan kita dengan melakukan perkara-perkara yang tidak betul? Sebab itu saya faham kenapa ada beberapa bahagian yang mengemukakan usul sedemikian.

“Tetapi ia masih bergantung kepada akar umbi. Kita tidak boleh halang mana-mana ketua bahagian yang berhasrat untuk membuat usul supaya jawatan ini tidak dipertandingkan. Kalau mereka nak bawa usul ini, maka terpulang kepada mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham turut berpandangan bahawa Presiden UMNO merupakan seorang pemimpin yang demokratik dan sentiasa mendengar segala pandangan.

“Kalau banyak bahagian-bahagian dan negeri-negeri bersetuju untuk jawatan ini tidak dipertandingkan supaya kita tidak huru-hara dan atas apa-apa sebab sekalipun, maka ianya harus ditentukan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

“Pada hemat saya, kenyataan beliau menunjukkan sifat beliau yang sentiasa terbuka. Saya sendiri berada dalam mesyuarat Majlis Tertinggi dan Biro Politik. Beliau sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan termasuk sesiapa sahaja yang berhasrat untuk membuat usul semasa Perhimpunan Agung UMNO kelak,” katanya lagi.

Pada Selasa UMNO Online melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan parti sama ada jawatan Presiden dan Timbalan dipertandingkan atau tidak.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana sebagai pemimpin yang berpegang kepada prinsip demokrasi padanya keputusan itu perlu ditentukan oleh perwakilan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.