Agensi Kerajaan, GLC Diminta Proaktif Bantu Mangsa Banjir

MACHANG, 27 Dis – Agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta memainkan peranan lebih proaktif menggerakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mangsa banjir.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata agensi kerajaan dan GLC terutama syarikat-syarikat di bawah Kementerian Kewangan (MOF) perlu menjadi contoh bagi membantu rakyat yang ditimpa musibah.

“GLC terutama syarikat-syarikat di bawah Kementerian Kewangan perlu lebih aktif tanpa perlu menunggu arahan supaya berusaha membantu mereka yang terkena musibah.

“Apabila mendapat tahu mengenai bencana seperti banjir, kebakaran dan ribut memerlukan bantuan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bencana banjir berjumlah RM80,000 kepada 800 penerima di Pejabat Tanah dan Jajahan Machang, di sini hari ini.

Setakat pagi tadi, lima negeri masih terjejas banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Sabah dan Sarawak melibatkan ribuan mangsa. – BERNAMA