Kunci UMNO Kembali Bangkit, Bertaut Kepada Akar Umbi Dan Disiplin Kepartian

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Kunci untuk UMNO kembali menggembleng kekuatan adalah dengan kembali bertaut kepada akar umbi dan ahli-ahli serta mengamalkan disiplin kepartian.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Farhan Khairuddin berkata, gerak kerja yang bersepadu memerlukan disiplin bagi memastikan UMNO kembali diterima oleh rakyat.

“UMNO perlu segera menguatkan kekuatan dalaman parti, menghentikan persengketaan dan mengukuhkan kesepaduan antara kepimpinan, ahli serta akar umbi. Itu langkah pertama yang UMNO perlu buat.

“Seterusnya, UMNO perlu kembali kepada nature perjuangan. UMNO adalah sebuah parti Melayu yang moderate, tidak ekstrim, terbuka dan progresif. Itu kekuatan UMNO selama ini yang mungkin setelah berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu UMNO dilihat agak terkapai-kapai dalam menentukan niche ataupun nature mereka dalam perjuangan.

“Apa pun, UMNO perlu kembali bertaut kepada parti untuk kembali menggembleng kekuatan. Kepimpinan juga perlu kembali bertaut kepada parti dan akar umbi serta ahli-ahli UMNO hari ini perlu kembali kepada disiplin kepartian itu sendiri. Jika tidak ada disiplin kepartian maka apa jua gerak kerja dan usaha kita pasti tidak akan berjaya,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Muhammad Farhan, dalam menjaga kemaslahatan parti UMNO sudah semestinya anak muda yang setia kepada perjuangan berharap agar proses peremajaan parti tidak akan berhenti selain memberikan lebih banyak peluang kepada mereka.

“Mengambil kira UMNO adalah sebuah parti yang agak mempunyai nilai sentimental dan sejarahnya berserta potensi besar kerana mempunyai ramai pemimpin serta tokoh anak muda berkualiti, sudah semestinya kita mahu melihat proses peremajaan parti tidak berhenti begitu sahaja.

“Anak muda juga ingin UMNO memberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk memainkan peranan yang lebih efektif bukan sahaja dalam gerak kerja kepartian malahan dalam soal kenegaraan dan urus tadbir negara. Sebagai contoh, untuk menepis sangkaan bahawa UMNO adalah parti jumud, tua dan tidak mahu berubah.

“Kita juga berharap untuk melihat anak-anak muda dapat ditempatkan dalam peranan yang lebih besar sebagai contoh melantik ahli senator bawah 30 tahun bagi memainkan peranan dan suara orang muda di luar parti. Dengan langkah ini, mungkin boleh diterjemahkan kepada satu gambaran bahawa UMNO dilihat begitu progresif dalam meletakkan orang muda ke hadapan.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar UMNO segera bangkit dan kembali diperkukuhkan serta konsisten untuk kembali diterima oleh rakyat.

“Saya mengharapkan agar UMNO dapat ‘revitalize’, dapat kembali mengukuhkan dirinya, kembali bertaut dan para ahlinya benar-benar menghayati disiplin berparti secara berjemaah. Pasti anak muda di luar sana mahu secara singkatnya mahu melihat agar UMNO terus berubah.

“UMNO bangkit dan UMNO kembali meletakkan diri di dalam posisi yang relevan kepada politik tanah air dan kita tidak mahu parti ini terus lapuk ditelan zaman dalam keadaan ada parti-parti Melayu lain kononnya mahu mengambil peranan dan menggantikan UMNO.

“Kita berharap agar UMNO dapat terus mempertahankan survivalnya dan membina satu dinamika politik yang lebih matang, progresif seperti kita lihat pada hari ini. Semoga UMNO dapat memacu negara ini kembali kepada acuan yang asal iaitu Malaysia dipimpin oleh Melayu Islam dan didukung oleh pelbagai bangsa,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.