Kali Pertama Kementerian Khusus Diwujudkan Untuk Tangani Isu Kos Sara Hidup Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Buat kali pertama negara ini mempunyai kementerian khusus untuk tangani isu kos sara hidup rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Jelasnya, kos sara hidup rakyat ini merupakan isu utama di negara ini dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO telah diamanahkan untuk mengetuainya.

“Kos sara hidup rakyat adalah isu nombor satu di negara ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kabinet untuk mengetuainya.

“Kali pertama negara ini ada kementerian khusus untuk tanganinya iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Kementerian Kewangan sudah tentunya akan memberikan kerjasama yang jitu dalam membantu menangani isu ini,” katanya menerusi hantaran di laman Twitternya.

Pada Ahad media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa pelaksanaan dan pemantauan kos sara hidup akan ditubuhkan atas arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, usaha menangani kos sara hidup akan menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan perpaduan dan jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau sendiri.

Katanya, jawatankuasa itu akan memastikan usaha berterusan kerajaan dalam meringankan beban rakyat dan kesinambungan terhadap pengumuman terdahulu, termasuk berkaitan tarif elektrik, petrol serta mengawal kekurangan bahan makanan asas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.