Tragedi Tanah Runtuh… Ujian Berhikmah, Kukuh Penyatuan Kaum Dalam Negara – Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Tragedi tanah runtuh di Batang Kali merupakan sebuah ujian yang memberikan impak mendalam terutamanya dari segi aspek menyatupadukan rakyat di Malaysia.

Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ujian yang menimpa tanah air itu bukan sesuatu yang sia-sia walaupun dianggap satu tragedi buruk untuk negara.

“Siapa sangka… Tragedi tanah runtuh Batang Kali yang telah menggemparkan negara sejak 9 hari lalu bagi saya, selain dianggap sebagai satu ujian, namun telah memberi impak sangat mendalam kepada kita semua terutama dalam aspek menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Ujian yang menimpa bukan sia-sia, walaupun dianggap satu tragedi namun ia merupakan satu detik mengukuhkan penyatuan kaum dalam negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, beliau dapat melihat sendiri semangat ditunjukkan oleh semua pihak terlibat termasuklah seluruh rakyat Malaysia yang tidak berhenti berdoa tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya sendiri telah melawat lokasi insiden pada hari pertama tragedi berlaku dan sangat mengikuti rapat setiap perkembangan kejadian.

“Jelas tergambar semangat yang ditunjukkan oleh semua, bermula daripada pasukan Search And Rescue (SAR), petugas media, pasukan kesihatan, termasuklah seluruh rakyat Malaysia yang tak putus-putus mendoakan kesemua mangsa supaya dapat ditemui dengan segera.

“Dapat juga dilihat pasukan SAR yang berkerja sepenuh jiwa dan raga membantu sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya lagi.

Menurut Abdul Rahman, disaat negara mula bersatu membentuk Kerajaan Perpaduan, segala ujian yang datang itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

“Cantik aturan Yang Maha Esa, disaat negara mula bersatu membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan, kita diuji pula dengan beberapa insiden yang punyai hikmah yang sangat luas.

“Percayalah, jika hujan kita ibaratkan seperti ujian, maka pelangi yang muncul selepas hujan itulah hikmahnya. Tidak ada satu yang Allah jadikan itu sia-sia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang terlibat dalam misi pencarian dan mendoakan supaya Malaysia terus berada dalam lindungan Yang Maha Esa.

“Buat semua yang terlibat, ini bukanla lah satu tugas yang mudah, namun keazaman yang tinggi inilah mengatasi segalanya. Tahniah sekali lagi buat semua pasukan yang terlibat dalam misi pencarian.

“Semoga Malaysia terus dalam perlindungan-Nya, diberkati, aman dan harmoni serta dilimpahkan kasih sayang yang berkekalan oleh Allah jua,” katanya lagi.

Dalam tragedi pada awal pagi 16 Dis lepas, seramai 92 mangsa yang terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan mangsa. Kejadian menyayat hati itu meragut nyawa 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Kawasan SAR yang dibahagikan kepada tiga sektor pencarian iaitu sektor A, sektor B (farm view) dan sektor C (river side) itu, melibatkan kekuatan melebihi 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi serta khidmat unit anjing pengesan (K9) selain penggunaan jentera berat.

Operasi itu melibatkan kerjasama lima agensi utama kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Secara keseluruhan, 20 mayat ditemukan di sektor A, satu di sektor B dan 10 lagi di sektor C. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.