Cara Tangani Inflasi… Kukuhkan Ringgit, Bantu Peniaga Kekalkan Harga Barangan

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Salah satu cara untuk menangani kenaikan inflasi adalah dengan mengukuhkan mata wang Ringgit dan membantu para peniaga mengekalkan harga barang jualan mereka.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berpendapat, inflasi terjadi disebabkan kenaikan kos-kos input yang semakin membebankan peniaga dan pengguna.

“Kalau kita nak kurangkan inflasi ini ada dua sebabnya. Pertama, disebabkan ‘cost push’. Kalau berdasarkan buku text, disebabkan ‘supply demand’. Apabila permintaan tinggi, maka harga sesuatu barangan itu akan meningkat.

“Tetapi dalam realiti, inflasi turut berlaku disebabkan ‘cost push inflation’ iaitu kenaikan kos-kos input.

“Kenapa harga ayam naik? Disebabkan harga dedak naik maka kos input ayam itu sendiri mahal. Sebab apa harga dedak naik? Sebab Ringgit kita lemah,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.

Menurut Isham, antara cara untuk mengukuhkan nilai Ringgit adalah dengan meyakinkan orang luar untuk membeli mata wang kita sendiri.

“Salah satu penyelesaiannya adalah kita perlu mengukuhkan nilai Ringgit dengan menyakinkan orang luar untuk membeli mata wang kita daripada luar.

“Jadi, menteri-menteri yang ke luar negara akan cuba memasukkan pelabur luar secepat mungkin supaya mereka boleh beli wang kita dan ekonomi negara akan pulih.

“Kedua, kita perlu bantu para pengeluar untuk mengekalkan harga mereka. Kalau kos mereka tinggi, maka mereka tidak mampu untuk mengekalkan harga yang rendah,” katanya lagi.

Isham turut menyeru rakyat supaya lebih peka terhadap ‘headline inflation’, bukannya ‘core inflation’ untuk dijadikan rujukan tentang kedudukan ekonomi negara.

“Angka inflasi ini kadang-kadang mengelirukan. Satu, ‘core inflation figure’ dan satu lagi ‘headline inflation’. Kita jangan tengok kepada ‘core inflation’ kerana ini adalah rujukan kepada peniaga dan pelabur sebab tak termasuk harga makanan dan tenaga.

“Kita sebenarnya bayar banyak ‘energy cost’ seperti petrol. Harga makanan tidak termasuk dalam ‘core inflation’ jadi kita perlu rujuk kepada ‘headline inflation’,” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia kekal tinggi iaitu 4.0 peratus pada November dengan mata indeks berada pada 129.0 berbanding 124.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimana kadar berkenaan ternyata lebih rendah berbanding 4.7 peratus yang dicatat bulan Ogos 2022. Kedudukan inflasi yang tinggi mampu mengurangkan nilai sebenar pendapatan diperoleh, lantas menjejaskan kuasa membeli orang awam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.