Kerajaan Wujud Jawatankuasa Pelaksanaan Dan Pemantauan Kos Sara Hidup Rakyat – TPM

SHAH ALAM, 24 Dis – Kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Kos Sara Hidup Rakyat dengan melibatkan kerjasama dengan kementerian berkaitan, bagi menangani semua permasalahan berbangkit berhubung isu tersebut secara tuntas.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan jawatankuasa itu, dibuat atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beliau, yang mahu menjadikan perkara itu sebagai tumpuan utama kepimpinannya bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Hari ini genap sebulan di bawah pimpinan Perdana Menteri…dalam tempoh sesingkat ini beberapa pendekatan baharu dilakukan beliau dan pentadbirannya. Satu perkara jadi keutamaan beliau ialah isu kos sara hidup untuk rakyat,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama Timbalan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh singkat itu juga, pelbagai usaha dan kaedah dilakukan kerajaan termasuk melibatkan isu tarif elektrik dan penyelesaian terhadap kekurangan bahan makanan utama yang bukan sahaja dapat dikekalkan harga malah ada berjaya dikurangkan.

Mengenai penangguhan lantikan semula Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra, Ahmad Zahid berkata perkara itu diputuskan berikutan penyelarasan yang dilakukan kepada semua badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat-syarikat lain di bawah kementerian dan agensi kerajaan.

“Tarikh (pelantikan) akan ditentukan oleh Perdana Menteri…maka penyelarasan ini akan dibuat kepada semua jawatan bukan sahaja kepada satu jawatan sahaja dan akan diumumkan serentak,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen paling sikit dalam sejarah, kemenangan 30 kerusi oleh BN itu membuktikan parti tersebut membantu menjadi komponen penting dalam membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Sementara itu, beliau berkata walaupun perbedaan politik diraikan di negara ini, beliau menyeru kepada semua pihak termasuk parti politik di luar kerajaan, untuk bergerak ke hadapan dalam membantu membangunkan negara demi kesejahteraan rakyat.

Pada majlis yang sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Ramesh Rao sebagai Pegawai Khas kepada beliau, yang akan menjaga kepentingan dan permasalahan masyarakat India.

“Jadi saudara Ramesh Rao, ini amanah daripada saya secara peribadi. Kalau masyarakat India ada masalah, sila bantu mereka,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.