Hari Natal: Rakyat Diminta Renung, Ambil Iktibar Tragedi Batang Kali, Banjir – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Rakyat Malaysia diajak untuk meluangkan sedikit masa bagi merenung dan mengambil iktibar atas tragedi yang berlaku di negara ini, termasuk kejadian tanah runtuh di Batang Kali serta musibah banjir yang melanda Pantai Timur.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap, seluruh rakyat dapat mengharunginya secara bersama dengan aman dan harmoni.

“Sesungguhnya ini adalah ujian untuk menilai kasih sayang dan keikhlasan sesama kita,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut mengucapkan Selamat Hari Krismas 2022 buat semua rakyat khususnya penganut agama Kristian di seluruh negara.

Beliau yang mewakili seluruh keluarga besar di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, berharap semua rakyat beroleh kegembiraan dan menikmati kasih sayang bersama keluarga serta sahabat handai.

Hari Natal atau Krismas disambut pada 25 Dis setiap tahun oleh penganut Kristian. BERNAMA