Banjir Boleh Dijangka… Bercuti Ke Luar Negara Ketika Rakyat Ditimpa Musibah Bukan Keputusan Terbaik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Musibah banjir sudah boleh dijangka khususnya pada musim tengkujuh di pantai Timur dan mana-mana pihak perlu lebih bersedia menghadapinya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bercuti ke luar negara misalnya bukanlah keputusan terbaik ketika rakyat memilihnya dahulu ditimpa Musibah.

“Banjir boleh dijangka khususnya pada musim tengkujuh di pantai timur kerana perubahan monsun yang melibatkan faktor semula jadi dan geografi.

“Maka, mana-mana pihak perlu lebih bersedia menghadapinya. Bercuti ke luar negara misalnya bukanlah keputusan terbaik ketika rakyat yang memilihnya dahulu ditimpa musibah.

“Di sinilah keprihatinan pemimpin dituntut dan dinilai oleh rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut berkata, banjir besar bukanlah suatu yang baharu dalam sejarah dunia.

“Banjir besar bukanlah baharu dalam suatu yang baharu dalam sejarah dunia, namun kurang diberikan perhatian pengajaran daripada bencana tersebut.

“Banjir besar yang berlaku ketika zaman Nabi Noh memberikan suatu metafora betapa persediaan menghadapi perlu dirancang teliti secara mikro dan makro. Ia juga suatu metafora perlakuan manusia hingga tercetus bencana tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berpendapat, kerakusan pembalakan haram dan penerokaan hutan merupakan salah satu punca banjir ini berlaku.

“Faktor manusia juga boleh menjadi faktor penyebab banjir besar boleh berlaku. Justeru, terdapat kawasan yang tidak pernah dilanda banjir besar kini turut dilanda banjir besar.

“Kerakusan pembalakan haram dan penerokaan hutan secara tidak terkawal mengakibatkan ekosistem terjejas teruk. Kawasan tadahan hujan hilang fungsi.

“Kesemua ini menuntut kesedaran bersama untuk menstabilkan kembali ekosistem alam ini.

“Ya, NADMA memang dalam keadaan bersiap siaga 24 jam. NADMA ada kepakaran dan kelengkapan walaupun masih ada lagi untuk ditambahbaik. Komitmen NADMA sangat baik dan berprestasi tinggi. NADMA mendapat peruntukan tambahan RM400 juta bagi kesiapsiagaan banjir hujung tahun ini,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, banjir besar sudah semestinya akan memberi impak khususnya kepada kesejahteraan rakyat.

“Namun apabila berlakunya banjir besar ia akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan hasil tanaman dan ternakan, kerosakan harta benda dan boleh memusnahkan kemudahan infrastruktur yang ada.

“Mangsa banjir kehilangan rasa kebahagiaan, mengalami trauma, kenderaan rosak dan perlu dibaiki dan menyebabkan pendapatan terjejas malah hilang. Ini menyebabkan indeks kebahagiaan hidup merudum dan kesejahteraan hidup terjejas.

Jelasnya, pada tahun 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan jumlah kerugian akibat banjir di seluruh negara bernilai RM6.1 bilion yang meliputi kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan infrastruktur.

“Kerugian besar tersebut tidak termasuk perbelanjaan besar dilakukan untuk bantuan pengurusan banjir besar, membaiki infrastruktur yang rosak teruk, menyediakan tempat perpindahan banjir dan pelbagai lagi untuk memastikan rakyat dapat dilindungi lebih baik.

“Pada masa sama diseru kerajaan -kerajaan negeri merancang lebih baik bagi persediaan menghadapi banjir besar akan tetapi lebih penting ialah langkah pencegahan bagi memastikan kerosakan alam sekitar tidak memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.

“Penguatkuasaan atau pembanterasan penerokaan hutan secara haram, penerokaan hutan tanpa peduli pemeliharaan alam sekitar perlulah dihentikan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap agar budaya menyelenggara dijadikan amalam budaya kerja harian dan bukannya apabila berlaku banjir, barulah diberi perhatian.

“…yang paling asas, sistem saliran dan perparitan perlu lebih terjaga termasuk aspek pendalaman agar diselenggarakan lebih baik agar tidak berlaku takungan air, tidak tersumbat dan sebagainya. Ini penting agar tidak berlaku banjir kilat mahupun banjir besar di desa mahupun perumahan di kota.

“Budaya menyelenggarakan seumpama ini sepatutnya menjadi amalan budaya kerja harian dan bukannya apabila berlaku banjir barulah diberikan perhatian.

“Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mangsa banjir, para ahli akademik di menara gading juga dituntut untuk membantu memberikan maklum balas bagi membantu Kerajaan membuat penyelesaian terbaik bagu menangani isu banjir bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduk di kawasan banjir dapat ditangani dengan lebih baik dan lebih berkesan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.