Ahmad Maslan Harap Bantuan Awal Persekolahan Dapat Meringankan Beban Rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Timbalan Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap agar Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat.

Jelasnya, dengan jumlah bajet diperuntukkan oleh kerajaan sebanyak RM450 juta, setiap pelajar dari tahun satu sehingga tingkatan lima akan menerima RM150.

“Di Dewan Negara saya maklumkan peruntukan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setiap pelajar akan menerima RM150 dengan bajet kerajaan berjumlah RM450 juta. Moga dapat bantu meringankan sedikit belanja atau kos awal tahun kepada rakyat yang ada anak bersekolah,” katanya menerusi hantaran di laman Twitternya.

Pada Selasa media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan BAP bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023 ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat.

Peruntukan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid yang diumumkan kerajaan pada Selasa lalu akan disalurkan seawall 12 Januari depan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, peruntukan tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun sekolah dan akan diagihkan secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun murid.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.