MB Pahang Bertemu PM, Bincang Inisiatif Pemajuan Ekonomi Dan Lapor Situasi Banjir

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya, semalam bagi membincangkan beberapa inisiatif pemajuan ekonomi dan melaporkan situasi banjir di negeri Pahang.

Jelasnya, antara inisiatif pemajuan ekonomi adalah cadangan pengoperasian kilang memproses pasir di Kuantan.

“Pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya malam tadi bagi membincangkan beberapa inisiatif pemajuan ekonomi dan pelaburan masuk ke negeri Pahang.

“Inisiatif ini termasuklah cadangan pengoperasian kilang memproses pasir silica (kaca) bernilai RM2 bilion di Gebeng, Kuantan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu turut melaporkan kepada Anwar Ibrahim bahawa sebanyak RM47 juta telah diperuntukkan bagi program pasca banjir seluruh negeri.

“Selain itu, saya turut melaporkan kepada Perdana Menteri berkenaan situasi banjir di Pahang dan persediaan awal yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri termasuk memperuntukkan sejumlah RM47 juta bagi program pasca banjir seluruh negeri yang mula dilaksanakan pada tahun 2022 sehingga 2023.

“Peruntukan tersebut termasuklah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir di Negeri Pahang menerusi pembelian bot amfibia, pembinaan Pusat Pemindahan Banjir Kekal, pembinaan landasan pendaratan helikopter, pembelian instruen sistem amaran awal banjir dan pembelian bot penyelamat yang ditempatkan di Pejabatn Penghulu seluruh negeri,” katanya lagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir di Pahang pagi ini meningkat sedikit kepada 35 orang yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, Kuantan berbanding 30 orang semalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.