Kerajaan Perpaduan: Kebijaksanaan Dan Kepimpinan Presiden UMNO Harus Dihargai, Diraikan – Khairul Azwan

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Kebijaksanaan serta kualiti kepimpinan yang dipamerkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seharusnya dihargai dan diraikan oleh ahli-ahli UMNO dan akar umbi.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) bertuah kerana berada dalam Kerajaan Perpaduan meskipun kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“UMNO bertuah walaupun kehilangan banyak kerusi Parlimen dan DUN pada PRU ke-15, berjaya berada dalam Kerajaan Perpaduan dengan diberi kepercayaan bagi memimpin beberapa kementerian penting.

“Presiden selaku teraju parti telah memainkan peranan yang besar, dengan memahami nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta memenuhi keperluan bagi mengembalikan kestabilan politik demi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama dan sokongan UMNO kepada Perdana Menteri adalah sebuah testimoni kematangan politik dan keutamaan yang dicurah pada tempatnya,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jelasnya, kepimpinan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO perlu dikekalkan dan terus diberi kepercayaan untuk penggal yang berikutnya bagi menjayakan gandingan Perdana Menteri serta barisan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan.

“Kebijaksanaan serta kualiti kepimpinan yang dipamerkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini seharusnya dihargai dan diraikan oleh ahli-ahli UMNO memandangkan negara sedang melalui fasa pemulihan ekonomi.

“Kepimpinan beliau selaku Presiden UMNO perlu dikekalkan dan terus diberi kepercayaan untuk penggal yang berikutnya bagi menjayakan gandingan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

“Gandingan dan semangat sepasukan ini bakal melahirkan dasar dan tata kelola yang baik serta program reform yang akan mengembalikan keyakinan pelabur dan rakyat. Semoga wadah Kerajaan Perpaduan ini berjaya mengangkat tahap sosio-ekonomi rakyat seperti yang diharapkan,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.