Jelajah Bina Semula UMNO Kedah, Perkasa Kembali Keyakinan Semua Peringkat – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Penerangan UMNO Negeri Kedah akan mengadakan sesi perjumpaan bersama jentera dan ahli parti akar umbi di peringkat bahagian-bahagian di seluruh negeri berkenaan sebagai salah satu langkah memperkukuhkan proses membina dan memperkasa semula keyakinan dan gerak kerja UMNO Negeri Kedah.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata walaupun kini UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan, realitinya UMNO masih perlu melalui proses untuk memahami, menerima dan menginsafi kekalahan dan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Jelajah #BinaSemula akan menjadi platform yang tepat dan terbaik kepada kepimpinan parti untuk berkongsi maklumat terkini kepada ahli akar umbi dan secara tidak langsung menjadi peluang kepada ahli akar umbi untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka secara timbal balas.

“UMNO perlu kekal sebagai sebuah parti teras dalam politik Malaysia, perlu terus diperkasakan demi membolehkan ianya terus menerus dapat memainkan peranan dalam menyuburkan amalan demokrasi di negara ini khususnya di Negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi, dengan mengambil kira pendapat serta saranan semua pihak serta keadaan terkini dinamika landskap politik negara untuk kembali menjadi pilihan utama, UMNO perlu mengenepikan segala perbezaan sentimen, sejarah lampau lantas kembali bersatu hati, sederap serta senada.

Malah kata beliau lagi paling penting saling bermuafakat bagi memastikan strategi yang diambil adalah ampuh dan berkesan untuk UMNO kembali memenangi hati rakyat Negeri Kedah secara khususnya.

“UMNO tidak boleh terlalu lama meratapi kekalahan, sebaliknya segera merangka dan menyusun strategi untuk bina kembali kekuatan parti. UMNO perlu bingkas dan kembali ke ‘mode’ gerak kerja untuk kembali memeta dan merancang hala tuju seterusnya iaitu memenangi Pilihanraya Negeri yang bakal dilaksanakan bila-bila masa sahaja daripada sekarang,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.