Perkukuhkan Parti, Semua Pihak Harus ‘Moving Forward’ – Dr Asyraf Wajdi

 

SEREMBAN, 21 Dis – Ahli UMNO tidak perlu menyalahkan orang lain dan perlu muhasabah diri sendiri, demikian tegas Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelas beliau, akar umbi adalah kepunyaan parti yang boleh diletakkan segalanya dan jangan berantakan serta merosakkan hubungan sesama kita.

“Masa-masa yang berbaki ini adalah masa untuk memperkukuhkan balik parti ini, muhasabahlah balik, cukup-cukup bergaduh sesama sendiri, cukup-cukup cah keting, ni nak masuk pemilihan kalau tak sedar diri… tak tahulah.

“Kita ini dah tinggal 30 kerusi, katakanlah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16, lima tahun lagi dan inilah peluang untuk kita bina parti ini,” katanya pada majlis penerangan isu semasa di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Seremban merangkap Setiausaha UMNO Perhubungan Negeri Mustafa Salim, Ketua Wanita UMNO negeri Datuk Latteffah Aliyaru Kunju, Ketua Pemuda UMNO negeri Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, Ketua Puteri UMNO Bahagian Seremban Zaeezah Mohamad Zahari dan Timbalan Ketua UMNO bahagian Md Yusop Harmain Shah.

Seterusnya kata Dr Asyraf lagi, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan pada bulan hadapan amat penting untuk ahli UMNO muhasabah diri setelah tewas pada PRU lalu.

“PAU ini amat penting untuk ahli UMNO menjadikan mandat muhasabah diri, bermula dari cawangan sampai ke bahagian.

“Tuhan telah beri mesej yang cukup besar kepada kita untuk berubah atau diubah. Kita masih boleh berbangga dengan sisa-sisa yang Tuhan telah bagikan peluang untuk berubah,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama kata Dr Asyraf lagi, ahli UMNO harus memandang kehadapan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“UMNO perlu ‘move forward’ dan sebab itu adalah penting dengan keadaan UMNO sekarang ini. Jangan duduk dalam keadaan dunia fantasi dan mimpi.

“Kita ini ada 30 kerusi dan jangan buat segala-galanya macam dahulu, kadang-kadang di semua peringkat tidak sedar bahawa tidak punyai apa-apa. Betul… UMNO jadi kerajaan tetapi bukannya kerajaan mutlak dan perlu ‘moving forward’,” ujarnya. – UMNO Online


Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.