Koa Denko Tambah Modal Pelaburan Bernilai RM750 Juta Di Melaka

MELAKA, 21 Dis – Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd, pengeluar komponen mikrocip yang berpengkalan di Jepun meningkatkan modal pelaburannya berjumlah RM750 juta merangkumi pembinaan kilang baharunya di Ayer Keroh di sini dalam tempoh lima tahun bermula tahun hadapan.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata modal yang dipertingkatkan itu menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan syarikat itu sebanyak RM1 bilion dalam tempoh kira-kira 50 tahun beroperasi di Melaka.

Beliau berkata Koa Denko di Melaka menyumbang 20 peratus daripada jumlah keluaran mikrocip di seluruh dunia bagi membantu perkembangan teknologi baharu dan produk keluaran syarikat itu yang dieksport antaranya ke Amerika Syarikat, Hong Kong, China, Jerman, Singapura dan Vietnam.

“Permintaan serta penawaran bagi industri ini adalah amat baik sehingga syarikat ini mengambil keputusan mengembangkan operasinya menerusi pembinaan kilang baharu dan asrama pekerja di Ayer Keroh.

“Kita menjangkakan nilai produksi kilang ini berjumlah RM180 juta setahun pada waktu ini dan akan meningkat kepada RM1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang setelah siapnya pembinaan kilang baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penyewaan Asrama Pekerja Zon Industri Ayer Keroh Baharu antara Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd dan PDG Asset Sdn Bhd.

Ab Rauf berkata pembinaan kilang baharu itu juga dijangka bakal menawarkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk Melaka dan sehingga kini sebanyak 823 pekerja termasuk 565 warga tempatan bekerja di kilang tersebut yang beroperasi di Batu Berendam.

Beliau berkata selain itu, syarikat tempatan juga berpeluang menjadi vendor kepada kilang itu untuk membekalkan peralatan atau mesin bagi pengeluaran produk mereka.

“Saya juga dimaklumkan Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd dijangka mewujudkan pusat logistik di negeri ini sebagai hab pengedaran mikrocip keluaran mereka khususnya bagi kegunaan kenderaan elektrik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Melaka menyasarkan menarik pelaburan asing khususnya untuk sektor automotif, kaca dan pembinaan pusat data yang berjumlah RM6 bilion pada tahun hadapan.

“Kita optimis akan dapat mencapai sasaran nilai pelaburan RM6 bilion pada tahun hadapan memandangkan sasaran nilai pelaburan RM5 bilion pada tahun ini hampir dicapai.

“Antara pelabur asing yang dijangka mengesahkan pelaburan mereka ialah Taiwan, Jerman dan Korea,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.