Anggota Kabinet UMNO/BN Kompeten, Berpengalaman Luas – Muhammad Farhan

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Farhan Khairuddin menzahirkan keyakinan beliau terhadap pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) yang dilantik untuk menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini.

Jelasnya, lima orang menteri yang dilantik daripada UMNO/BN jelas mempunyai pengalaman yang luas khususnya dalam hal ehwal pentadbiran negara.

“Saya menzahirkan keyakinan kerana kalau kita lihat sepuluh pemimpin yang menyertai kabinet sebagai menteri dan timbalan menteri adalah mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara.

“Sebagai contoh, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah sebelum ini pernah menjadi menteri dan pernah menjadi pengerusi Perusahaan Milik Kerajaan (GLC) iaitu PTPTN. Tetap, kali ini beliau menjadi timbalan menteri.

“Itu sudah memberi gambaran kepada kita walaupun seseorang itu pernah mempunyai pengalaman sebagai menteri penuh sebelum ini pun, kali ini beliau bertugas sebagai timbalan menteri. Ini membuktikan bahawa bagaimana kabinet kali ini agak kompetitif. Itu pandangan saya,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Muhammad Farhan, pelantikan menteri yang kompeten dan berpengalaman ini sewajarnya berlaku selepas terjadinya perpecahan dalaman UMNO dalam model kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apabila UMNO/BN hanya berjaya memperoleh 30 daripada 222 kerusi parlimen dan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) serta gabungan lain, sudah pasti ianya menyebabkan portion ataupun cake UMNO/BN dalam kabinet itu mengecil. Itu kita tidak boleh nafikan.

“Maka, ianya memberi ruang kepada parti untuk memilih, melantik dan menamakan mereka yang kompeten. Bukan sahaja kompeten, tetapi mereka yang boleh mewakili struktur parti UMNO itu sendiri ke dalam kabinet.

“Ini satu perkara yang sewajarnya berlaku. Kalau kita tengok model Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, lantikan dalam kabinet itu tidak mencerminkan struktur parti menyebabkan dalaman UMNO semakin mempunyai masalah dan menyebabkan perpecahan dalaman. Perkara ini berlaku disebabkan struktur parti itu tidak dijadikan sebagai landasan pemilihan ahli kabinet,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri mengukuhkan kedudukan parti itu sendiri.

“Saya melihat ini adalah salah satu cara untuk kita mengukuhkan parti melalui kedudukan dalam kerajaan. Jika kita terus mengamalkan budaya melantik atapun memilih mereka yang tidak mencerminkan struktur parti itu, maka saya risau UMNO akan terus mengalami perpecahan dalaman.

“Tetapi, apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden UMNO, ia memberi satu indikasi bahawa usaha untuk mengukuhkan kedudukan UMNO dan tautan antara ahli serta kepimpinan UMNO itu sedang berlaku,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.