UMNO/BN Kekal Berprinsip, Kerjasama Kerajaan Perpaduan Junjung Prinsip Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri bertegas menolak dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan UMNO hilang prinsip kerana bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya ini kerana, UMNO/Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengambil keputusan untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan ketetapan itu secara jelas telah dilakukan.

“Ada kawan tanya saya, UMNO dah lari dan jual prinsip dah? Saya tanya prinsip apa? Dia kata keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU)… No Anwar No Dap! Kedua perjuangan agama, bangsa dan negara apabila menyokong kerajaan perpaduan bersama PH!

“Saya jawab, pertama keputusan PAU penuh ‘No Anwar No Dap No PPBM’… bukan sekerat sahaja. UMNO/BN tak lari sikit pun dari prinsip apabila masuk PRU15 secara solo sebab prinsip inilah, UMNO/BN ambil risiko bertanding solo walau tahu kemungkinan besar tak boleh tubuh kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar berkata walaupun tidak memperolehi cukup kerusi selepas PRU15, UMNO/BN kekal berprinsip apabila bersedia menjadi pembangkang dan mencadangkan hanya PH dan Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi kerajaan.

“Lepas PRU, masih pegang prinsip apabila bersedia menjadi pembangkang apabila hanya memperoleh 30 kerusi sahaja, cadangkan PH dan PN utk bergabung tubuh kerajaan. So di mana yang lari prinsipnya?

“Kedua, perjanjian permuafakatan antara parti terutamanya PH, BN, GPS, GRS, Warisan dan Ahli-Ahli Parlimen lain untuk membentuk gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia. Antara intipati penting termasuklah perkara berikut:

‘Dan bahawa gabungan-gabungan PH, BN, GPS, GRS dan Warisan yang menjadi pihak-pihak kepada Perjanjian Kerjasama ini dan parti-parti PBM dan KDM serta calon-calon bebas yang secara kumulatif membentuk dua pertiga daripada jumlah ahli Dewan Rakyat, dengan ini beriltizam menjana kesepakatan rakyat untuk memacu Malaysia di atas landasan yang progresif dan majmuk, supaya Kerajaan Persekutuan mengambil langkah yang perlu agar dasar, program, pendirian, perlakuan dan pembawaan kerajaan menjunjung peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, Melayu/Bumiputra, Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu, sementara pada masa yang sama Kerajaan Persekutuan juga akan mempertahankan hak dan kebebasan rakyat bukan Melayu/Bumiputra/Islam mengamalkan agama, kepercayaan dan adat masing- masing mengikut Perlembagaan Persekutuan, agar keseluruhan semua rakyat Malaysia boleh hidup dalam suasana harmoni, saling mempercayai, mendapat peluang yang adil mengikut keperluan, dan saling memakmurkan dalam konteks hidup bernegara yang majmuk’

“Ini adalah antara sebab utama BN bersetuju menyokong Kerajaan Perpaduan apabila PH bersetuju menyokong prinsip ini. Jadi di mana yang lari prinsipnya?” soal beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.