UMNO/BN Jiwa Politik Sebenar, Sumbang Pembentukan Kerajaan Demi Negara – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan bahawa pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri merupakan satu formula politik kerana Barisan Nasional (BN) turut menyumbang kepada pembentukan kerajaan hari ini.

Jelasnya, ini merupakan percaturan politik yang dikemukakan untuk memastikan bahawa parti-parti politik yang membentuk gabungan mendapat hak serta kedudukan yang utama.

“Saya melihat pelantikan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri itu merupakan satu congakan dan formula politik yang diambil kira oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Barisan Nasional (BN) turut menyumbang kerusi kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan.

“Bagi saya, ini merupakan percaturan politik yang dikemukakan dan digunakan untuk memastikan bahawa parti-parti politik yang membentuk gabungan pembentukan kerajaan ini mendapat hal serta kedudukan utama di atas sumbangan mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya itu turut berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang kaedah bagi mengukur keyakinan rakyat dan ahli parti selepas pelantikan Timbalan Perdana Menteri berlaku.

“Sehingga kini juga masih belum ada kaedah ataupun referendum yang dilaksanakan untuk mengenal pasti respons daripada ahli serta rakyat,” katanya lagi.

Apabila ditanya mengenai tindakan pemain politik UMNO/BN yang masih bekerja untuk rakyat meskipun telah tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Mohammad Tawfik berpendapat itu adalah jiwa ahli politik yang sebenarnya.

“Bagi saya, dalam politik ini menang atau kalah bertanding dalam pilihan raya itu perkara biasa dan jika mereka tewas, mereka masih perlu meneruskan tugas-tugas dan kerja khidmat mereka kepada rakyat kerana itulah sebenarnya jiwa sebagai ahli politik.

“Meskipun tewas, mereka perlu meneruskan khidmat bakti mereka kepada rakyat melalui pelbagai platform sama ada parti ataupun individu, pemimpin. Jika mereka terus menghentikan khidmat mereka kepada rakyat, mereka akan berhadapan kesukaran dalam PRU akan datang.

“Sebab itulah saya yakin sebenarnya pemimpin yang ada jiwa rakyat dan mengutamakan kebajikan rakyat, mereka tidak kisah ada jawatan ataupun tidak yang penting dapat melaksanakan tugas sebagai wakil kepada rakyat meskipun tidak dilantik sebagai Ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya lagi.

Pada 2 Disember yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengerusi BN itu turut menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan bukanlah kemenangan sebuah perjuangan sebaliknya ia adalah permulaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan tiba sebaik sahaja diberi amanah memegang jawatan tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.