Perjanjian Persefahaman Secara Terbuka Demi Negara Dan Rakyat, Bukan Di Belakang Tabir – Razlan

KUALA LUMPUR, 17 Dis –  Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,  Datuk Mohd Razlan Rafii berkata perjanjian persefahaman (MoU) semalam adalah antara perkara yang terbuka bagi menjelaskan kepada rakyat tujuan dan apakah hala tuju kerajaan hari ini selama lima tahun.

Katanya ia juga adalah perkara yang perlu dihormati bagi setiap parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan ini dan apa yang penting ianya adalah untuk kepentingan negara dan rakyat.

“Ideologi politik setiap parti dalam gabungan tidak semua sama. Justeru, perkara yang asas adalah mencari jalan tengah agar ianya jelas di dalam apa jua keputusan yang akan diambil selama pemerintahan Perdana Menteri,” katanya.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau seterusnya menambah dari awal lagi, antara pemimpin politik yang menolak Akta Lompat Parti adalah dari Perikatan Nasional (PN) dan  Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah di antara yang terlibat untuk menggagalkannya.

“Parti UMNO tidak mahu lagi ada perjanjian sulit yang terjadi seperti Muhyiddin dan Kerajaan Keluarga Malaysia. Perjanjian yang menguntungkan individu dan bukan parti.

“Kerajaan ini bukan hak individu sepertimana sebelum ini, ianya juga bukan hak Muhyiddin untuk dijanjikan Jawatan Perdana Menteri ke-10 malah Muhyiddin juga ketika itu dijanjikan separuh duit rakyat yang diperuntukan kepada Perdana Menteri akan diberikan kepada beliau sebagai balasan memberikan sokongan,” ujarnya.

Justeru Razlan menasihatkan Muhyiddin dan rakan-rakannya agar berhenti berjuang dengan sikap tamak dan tiada prinsip serta belajar menghormati parti musuh mahupun kawan selain jangan amalkan sikap mahu mencuri sokongan dengan sogokan lagi.

“Kuasa yang diberi kepada kerajaan untuk membina negara dan kepentingan rakyat, ianya bukan barang dagangan untuk dijual beli demi kepentingan Ahli Parlimen yang tamakkan kuasa.

“Setiap ketua parti yang menandatangani MoU ini membawa suara keseluruhan ahli yang bekerja untuk memenangkan seorang Ahli Parlimen bagi mewakili Parti. Rakyat memilih parti, sekira ada di antara Ahli Parlimen yang masih tidak faham seperti Muhyiddin dan rakan-rakan mereka, lain kali bertandinglah menggunakan logo kunci, pokok atau lain-lain sebagai calon Bebas, selepas itu, mereka bebas membuat apa-apa keputusan,” tambahnya.

Semalam, lima gabungan politik utama – Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) – yang membentuk Kerajaan Perpaduan menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.

Perjanjian itu dimeterai Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung GRS Datuk Masidi Manjun, Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua Jr dengan disaksikan oleh semua pengerusi gabungan terbabit. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.