Rapatkan Semula Saf Kepimpinan UMNO/BN, Persiap Harungi PRN Di Enam Buah Negeri

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Veteran UMNO, Tan Sri Dr Mohd Yussof Latiff menyeru kesemua pimpinan UMNO di setiap bahagian untuk merapatkan semula saf kepimpinan dan mempersiapkan parti dengan menyatupadukan semua anggotanya di semua peringkat.

Katanya, ini kerana UMNO/Barisan Nasional (BN) akan menghadapi pilihan raya di enam buah negeri iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan dalam tempoh lebih kurang enam bulan lagi.

“UMNO merupakan parti nasionalis Melayu yang juga parti keramat Melayu yang menguasai politik negara telah kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi setelah 22 bulan sebagai pembangkang dan berlakunya langkah Sheraton, sebuah Kerajaan baharu dibentuk dengan gabungan PPBM+Pas+UMNO serta beberapa parti gabungan dari Sabah dan Sarawak.

“Pada PRU15 baru-baru ini, UMNO telah ditampar dengan kekalahan teruk dan kejatuhan UMNO itu telah dijangka awal oleh ramai pihak apabila para pemimpin UMNO telah berpecah kepada beberapa kumpulan iaitu terdapat kumpulan anggota kabinet dibawah Kerajaan campuran PN+BN manakala satu kumpulan lagi ialah kluster yang tidak menganggotai kabinet kerajaan dan sering mengkritik kerajaan campuran itu dan satu kumpulan lagi hanya bertindak tunggu dan lihat sahaja.

“Walaupun telah kalah teruk, parti keramat UMNO ini dengan takdir Allah S.W.T telah menjadi king maker dan seramai 11 wakil UMNO dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri termasuk Presiden UMNO menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam Kerajaan Perpaduan.

“Semua pihak harus menerima hakikat dan kenyataan ini dan bersyukur kerana inilah yang dikatakan ‘berpatah sayap bertongkat paruh’. Walaupun patah sayap dapat juga terbang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohd Yussof pada masa sama berharap UMNO untuk terus menyuburkan demokrasi dalam parti dengan memberi tumpuan untuk menarik generasi muda menyertai UMNO serta membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa yang mahu menawarkan diri untuk menjadi pemimpin parti dalam semua peringkat.

“Baru-baru ini mulai kedengaran ada suara-suara dari bahagian UMNO yang mencadangkan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam perhimpunan Agong UMNO yang akan datang ini.

“Hentikan amalan suka membodek atau disebut budaya ‘ampuism’ atau ‘ampuisme’ iaitu mempertahankan pemimpin bermati-matian walaupun pemimpin mereka terpalit dengan kesalahan undang-undang. Sesiapa yang mengkritik pemimpin akan dianggap sebagai tidak setia dengan UMNO dan perlu dihukum malah ada yang dipecat.

“Sebagai veteran UMNO, saya dengan ikhlasnya ingin meminta agar amalan ini dihapuskan di kalangan bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan UMNO dan kita semua wajib mempunyai fikiran terbuka,” ujar beliau.

Tambah beliau sekiranya parti terus dibelenggu dengan kewujudan warlord dan ‘ampuisme’ lama kelamaan ahli-ahli UMNO terpaksa menanggung beban kesilapan pemimpin manakala pemimpin-pemimpin pula bersenang lenang meneruskan kesilapan demi kesilapan.

Jelas beliau, secara natijahnya rakyat menolak UMNO pada PRU15 bukan kerana menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) tetapi ianya kerana sentimen akibat kealpaan para pemimpin-pemimpin UMNO.

Kata Mohd Yussof anak-anak muda yang baru mengundi juga telah diabaikan dan mereka tidak dipupuk dengan semangat nasionalisme dan kesannya mereka melupakan segala jasa UMNO yang membolehkan anak-anak Melayu menjadi golongan cerdik pandai hasil dari perjuangan UMNO.

“Penyakit yang menimpa UMNO ini adalah ditahap parah dan perlu diubati segera, Jika dibiarkan maka UMNO akan pupus secara perlahan-lahan menjelang Pilihan Raya Negeri di enam buah negeri yang bakal diadakan itu dan seterusnya berkubur pada PRU-16 yang akan datang kelak,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.