Peruntukan RM12 JUTA Sedia Pam Bergerak Atasi Banjir Termenung Di Pasir Mas – TPM

PASIR MAS, 15 Dis – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan RM12 juta untuk menyediakan enam unit pam bergerak berkuasa tinggi bagi mengatasi banjir termenung di jajahan Pasir Mas.

Beliau berkata peruntukan segera itu adalah langkah jangka pendek menangani banjir termenung yang kini berlaku di jajahan tersebut khususnya di Rantau Panjang.

Menurutnya enam pam tersebut dengan kos RM2 juta setiap unit akan digunakan untuk mengalirkan air banjir ke Sungai Golok.

“Banjir memang berlaku setiap tahun tetapi kita perlu menguruskan perkara yang berlaku setiap tahun ini bukan bersifat bermusim dan mengambil masa yang lama untuk pulih.

“Saya telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet banjir bersama agensi terlibat. Pelan Induk untuk Kelantan melibatkan kos RM2.1 bilion dan penyelesaian jangka pendek ialah pam bergerak diluluskan serta-merta, dibuat mengikut arahan dan secara ‘kerajaan kepada kerajaan’ (G to G),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Taklimat Persiapan dan Situasi Semasa Banjir Pasir Mas di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pemimpin perlu mengetepikan perbezaan politik dan dalam hal itu, beliau ‘buta warna’ dalam soal menangani banjir.

“Sepatutnya saya pergi (ke lokasi banjir) sebagai Kerajaan Persekutuan tetapi saya buta warna dan berjumpa Menteri Besar Kelantan (Ahmad),” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.