Kesetiaan Dan Kepercayaan Pemimpin PPBM Kepada Muhyiddin Makin Goyah – Nur Jazlan

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kesetiaan pemimpin PPBM kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin goyah kerana mereka mula hilang kepercayaan ke atas cara kepimpinan beliau.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, terdapat desas-desus mengenai ada gerakan yang sedang dilakukan untuk menyingkirkan Muhyiddin sebagai Presiden PPBM dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Saya dapat khabar dari beberapa rakan dalam PPBM bahawa sekarang ini sudah mula ‘berkocak’. Mereka dakwa sudah ada seperti gerakan untuk singkirkan Muhyiddin sebagai Presiden PPBM dan Pengerusi PN.

“Ini kerana ramai dalam kalangan pemimpin parti itu mula hilang kepercayaan ke atas cara kepimpinan Muhyiddin yang didakwa lebih mengutamakan dendam peribadi berbanding kepentingan parti,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulai itu turut berkata, tindakan Muhyiddin yang bersikap acuh tak acuh dalam berunding dengan BN sehingga parti itu mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan turut mengundang kemarahan mereka.

“Ada juga dalam kalangan pemimpin PPBM yang marahkan Muhyiddin atas kegagalan PN menjadi kerajaan biarpun mereka menang besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Mereka marah sebab beliau bersikap acuh tak acuh sehingga BN mengambil keputusan bekerjasama dengan PH untuk bentuk Kerajaan Perpaduan. Jadi mereka terpaksa berputih mata dan ‘kempunan’ untuk menjadi menteri sekali lagi.

“Sebab itulah ada kumpulan dalam PPBM yang mula atur gerakan untuk singkirkan Muhyiddin daripada terus memimpin parti itu dan PN. Lagipun mereka merasakan masa Muhyiddin sudah berlalu dan dia tak ada lagi ‘X-Factor’ untuk membawa PPBM serta PN pada masa depan,” katanya lagi.

Menurut Nur Jazlan lagi, pelantikan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang turut menunjukkan bahawa Muhyiddin sudah ‘hilang taring’ sehinggakan ada yang sudah berani cuba mengkhianatinya.

“Kalau kita tengok pun, mengapa Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainuddin yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang dan bukannya Muhyiddin? Mungkin Ahli-Ahli Parlimen PPBM merasakan Ahli Parlimen Pagoh itu sudah hilang aura dan sudah expired.

“Lagipun Muhyiddin juga sudah ‘kehilangan sengat’ apabila orang-orang kanan mereka seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Faizal Azumu dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kecundang di kerusi masing-masing pada PRU ke-15. Cengkaman Muhyiddin makin tumpul dalam PPBM sehinggakan sudah ada yang berani cuba khianati dia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa jangan sesekali berbuat jahat kepada orang lain kerana pembalasannya akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

“Begitulah adat permainan dan pusingan roda dalam politik serta kehidupan. Jangan sesekali berbuat jahat kepada orang lain kerana sampai masanya Allah akan balas segala kezaliman itu dengan kezaliman. Jangan rasa diri terlalu megah dan angkuh kerana apabila tiba masanya kita akan tersungkur juga.

“Jadi sekarang ini adalah fasa untuk Muhyiddin rasa sakit, pedih dan sedih bila dikhianati orang sendiri. Muhyiddin kena bersedia terima hakikat bahawa setiap perbuatan khianat dan zalim yang dia buat kepada pemimpin-pemimpin serta orang UMNO selama ini sudah mula diterima pembalasannya.

“Begitu juga dengan orang-orang UMNO yang selama ini berkomplot dan bersekongkol dengan Muhyiddin untuk menjahanamkan parti, mereka juga kena bersedia untuk terima hukuman atas perbuatan jijik mereka itu,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.