Kekalkan Semangat Dan Tekad Hadapi PRN Negeri Sembilan – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengharapkan jentera UMNO khususnya di Negeri Sembilan dapat siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan selewatnya bulan Jun tahun 2023.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata momentum semangat dan tekad ini dapat dikekalkan oleh jentera parti bagi hadapi PRN ini.

“Teruskan semangat dan tekad ini untuk kita hadapi pula PRN Negeri Sembilan, yang mesti diadakan paling lewat pun pada bulan Jun tahun 2023,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera bagi memastikan Parlimen Rembau kekal di bawah Barisan Nasional (BN).

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua jentera petugas-petugas di setiap peringkat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan di cawangan-cawangan masing-masing yang membantu tanpa mengira penat dan masa, kami amat menghargainya.

“Malam tadi bersama kepimpinan UMNO bahagian Rembau meraikan seluruh jentera parti UMNO dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi yang berkerja kuat dan bersungguh-sungguh memastikan Parlimen Rembau menang di kawasan DUN ini,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu, Mohamad telah memenangi Parlimen Rembau dengan majoriti 19,897 undi dan beliau mempertahankan kerusi ini yang menjadi milik BN sejak tiga penggal lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.