Kerja Sebagai Satu Pasukan Untuk Kemakmuran Rakyat, Negeri – Wan Rosdy

KUANTAN, 14 Dis – Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang untuk mengetepikan sentimen dan ideologi politik untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bagi kemakmuran rakyat serta negeri.

Beliau juga mengharapkan semua Exco dapat melaksanakan tugas dengan baik bagi menjadikan Pahang sebagai negeri maju, selain rakyat digesa memberi kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sudah sampai masanya untuk kita membuka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan pebezaan antara kita semua dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama agar kita dapat terus hidup dalam suasana yang aman, damai dan harmoni.

“Kita kena bekerja dengan baik kerana dalam tempoh empat ke lima tahun akan datang, kita akan berdepan semula dengan rakyat (Pilihan Raya Umum Ke-16)… dalam tempoh kita bekerja sehingga dapat meningkatkan hasil lebih RM1 bilion juga kita berdepan kekalahan luar jangka (pada PRU15),” katanya pada Sidang Media Khas Pengumuman Portfolio Exco Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata pelantikan exco dan portfolio mengambil kira latar belakang, kemampuan dan kepakaran setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat, yang telah mengangkat sumpah jawatan Exco 2 Dis lepas.

Exco Pahang terdiri daripada lapan ADUN Barisan Nasional (BN) dan dua daripada Pakatan Harapan (PH) mengambil kira dua blok parti politik itu bekerjasama untuk membentuk kerajaan negeri, selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi pada PRU15 bagi membentuk kerajaan negeri.

Pada PRU15, BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala PH menang di lapan kerusi.

Wan Rosdy juga memaklumkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pertama selepas PRU15 akan berlangsung pada 29 Dis ini, antara lain melibatkan pelantikan Yang Dipertua DUN dan Timbalannya.

Berikut adalah senarai penuh portfolio Exco Pahang:

1. Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
– Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air
– Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi

2. Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak
– Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan.

3. Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
– Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli

4. Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff
– Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan

5. Razali Kassim
– Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan

6. Datuk Seri Johari Harun
– Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau

7. Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib
– Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi.

8. Datuk Sabariah Saidan
– Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

9. Fadzli Mohamad Kamal
– Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO)

10. Sim Chon Siang
– Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia

11. Leong Yu Man
– Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.