Suruhanjaya Undang-Undang, Pasukan Petugas Khas Antara Perkara Ingin Diketengah Azalina

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Cadangan penubuhan Suruhanjaya Undang-Undang di Malaysia dan Pasukan Petugas Khas berkaitan Reformasi Institusi adalah antara perkara yang akan diketengah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata Suruhanjaya Undang-Undang yang berdiri sendiri serta bebas daripada Jabatan Peguam Negara akan membolehkan ia terlibat dengan spektrum bakat yang luas bukan sahaja di bidang perundangan malah dalam kalangan ahli sosiologi, saintis dan komuniti perniagaan bagi mengusulkan pembaharuan kepada undang-undang yang diperlukan agar ia sesuai dengan tujuan dan masa.

Azalina berkata Pasukan Petugas Khas berkaitan Reformasi Institusi akan terdiri daripada pihak berkepentingan yang relevan dengan tujuan untuk menjalankan kajian rentas sektor dan mencadangkan senarai pembaharuan institusi yang akan dibentangkan kepada Kabinet.

“Bagi memperluas penglibatan Pasukan Petugas Khas ini, ia akan melibatkan diri dengan pertubuhan masyarakat sivil serta orang awam dan mereka boleh mengemukakan cadangan secara terus kepada kami (kerajaan) melalui Pasukan Petugas Khas itu,” katanya dalam ucapan penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 di sini semalam.

Sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi yang baharu dilantik, Azalina berkata juga bertanggungjawab terhadap hak asasi manusia dan sedang mengkaji langkah memperkukuh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dengan meminda Akta SUHAKAM 1999.

“Ini termasuk melantik individu daripada pelbagai latar belakang dengan pengalaman dan pengetahuan yang sesuai mengenai hak asasi manusia ke dalam SUHAKAM.

“Semakan lanjut juga akan dimulakan dengan mengenai pengaturan pembiayaan ketika ini bagi memastikan kebebasan SUHAKAM adalah terpelihara,” katanya.

Beliau berkata SUHAKAM sepatutnya melaporkan dapatannya kepada Parlimen untuk dibahaskan bagi membolehkan Ahli Parlimen mengetahui keadaan hak asasi manusia di Malaysia dan merangka langkah seterusnya.

Azalina juga berkata reformasi institusi harus dimulakan bagi memastikan negara dilengkapi ‘infrastruktur lembut’ berpaksikan hak asasi manusia kerana Malaysia dijangka berdepan cabaran yang semakin meningkat susulan kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi dan ketegangan geopolitik.

“Kini kerja keras sudah bermula demi kemajuan negara dan rakyat Malaysia,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.