Isu Kesenjangan, Potensi Ekonomi Dan Taraf Hidup Luar Bandar Fokus Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup luar bandar menjadi keutamaan dan fokus dalam menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau akan mengemukakan pelan tindakan dan indeks prestasi utama (KPI) KKDW dalam masa terdekat, selain usaha menggembleng tenaga dan kudrat kementerian itu dan agensinya bagi menyelesaikan segala isu yang berkaitan desa.

“Pembangunan luar bandar di Malaysia bukan bertujuan membandarkan wilayah atau kawasan luar bandar dan (juga) bukan proses urbanisasi.

“… tetapi memastikan luar bandar mencapai tahap kemajuan sesuai dengan acuan kemajuan ukuran standard yang ditetapkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu dalam melestarikan pembangunan desa,” menurut Ahmad Zahid dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata proses modenisasi adalah dalam konteks cara berfikir, mengurus hal ehwal ekonomi yang progresif dan sesuai dengan keperluan semasa.

Ahmad Zahid berkata ukuran kejayaan pembangunan luar bandar tidak pernah berasaskan kepada pencakar langit yang tinggi, deretan bangunan mega, jalan raya bertingkat mahupun kawasan perumahan sesak dan padat, sebaliknya pembangunan tersebut adalah agenda yang mempunyai fokus serta dimensi tersendiri.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata melihat kepada angka statistik ekonomi dan demografi luar bandar, keadaan itu agak mencemaskan.

Mengambil contoh penghijrahan penduduk sejak 10 tahun kebelakangan ini, beliau berkata tahun lepas sebanyak 18.1 peratus penghijrahan penduduk dari bandar ke luar bandar direkodkan berbanding 3.0 peratus luar bandar ke bandar.

“Ini adalah angka yang menggalakkan kerana dengan penghijrahan penduduk kembali ke luar bandar, bermakna pengalaman kerja, kemahiran dan ekonomi yang lebih inovatif yang diterokai di bandar dapat dibawa ke luar bandar.

“Ini sepatutnya dapat meningkatkan limpahan ekonomi dan peluang di kawasan luar bandar, tetapi nampaknya tidak. Ekonomi luar bandar tetap memperlihatkan kesenjangan yang amat tinggi antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Berdasarkan data pada 2019, Ahmad Zahid berkata pendapatan penengah isi rumah luar bandar adalah RM3,828 berbanding RM6,561 bagi kawasan bandar.

Secara perbandingan mudah, beliau berkata bagi setiap RM100 yang diraih penduduk di bandar, penduduk luar bandar hanya mampu meraih sebanyak RM58.

Beliau berkata 2019 juga merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi di kawasan luar bandar sebanyak 12.4 peratus berbanding kadar kemiskinan keseluruhan Malaysia iaitu 5.6 peratus, dan kesenjangan itu terus melebar tahun demi tahun, selain meminggirkan penduduk luar bandar daripada kebejatan ekonomi negara yang didorong kemajuan bandar.

“Data ini tidak mengambil kira 2020 ke atas yang mana kita tahu kesan ekonomi disebabkan wabak COVID-19 jauh lebih membarah. Ini adalah sesuatu yang semakin kritikal dan tidak boleh dibiarkan tenat.

“Sesuatu yang drastik dan radikal perlu dilakukan daripada sekarang jika tidak mahu kawasan luar bandar Malaysia terus ketinggalan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.