Program ‘Usha Usahawan’ Bantu Usahawan Mikro Perak – Salbiah

IPOH, 11 Dis – Kerajaan negeri memperkenalkan Program Usha Usahawan bertujuan memberi fokus dalam membantu para usahawan mikro di Perak yang memerlukan bantuan bagi membina semula perniagaan selepas terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Salbiah Mohamed berkata program berkenaan akan dilancarkan awal tahun depan selain mengambil kira peruntukan melalui pembentangan bajet kerajaan negeri pada pertengahan bulan ini.

“Program ini berkonsepkan pendekatan turun padang dan akan digerakkan melalui kerjasama beberapa agensi kerajaan negeri demi memastikan ia dapat direalisasikan secara menyeluruh.

“Selain bantuan daripada sudut modal awal untuk kembali membina perniagaan, kita juga mengenal pasti permasalahan serta kekangan lain yang dihadapi oleh para usahawan mikro ini secara terperinci,” katanya selepas pelancaran Tabung Sayang Sayang Safura di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan secara sekali beri yang disalurkan melalui Geran Usahawan Perak (GeRUP) kepada para usahawan mikro terpilih sebelum ini berkemungkinan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan baharu yang dirasakan sesuai dalam usaha membantu golongan terbabit.

“Saya telah menerima banyak maklum balas positif daripada mereka yang telah menerima bantuan sekali beri sebanyak RM3,000 ini. Jadi, ada keperluan untuk kita teruskan kepada mana-mana mereka yang memerlukan,” katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, Salbiah berkata pendekatan diwujudkan melalui Tabung Sayang Sayang Safura itu wajar diberikan pujian kerana ia adalah platform yang dapat membantu golongan memerlukan.

“Sebahagian wang daripada pembelian barangan kemas oleh pembeli di kedai ini disalurkan kepada tabung berkenaan dan ia akan digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Usahawan-usahawan berjaya lain perlu ambil pendekatan serupa kerana bagi saya ini adalah cara terbaik untuk kita menyumbang semula atau berkongsi rezeki bersama masyarakat,” katanya. – BERNAMA


@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.