Tiba Masa Laksana Tugas Masing-Masing, Kerajaan Mahupun Pembangkang – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh mengingatkan semua pihak bahawa hari ini adalah masa untuk masing-masing melaksanakan tanggungjawab baik kerajaan mahupun pembangkang.

Pada masa yang sama beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut berharap parti bermuhasabah dan mencari punca kepada keadaan itu dan apa yang utama adalah kita tidak mampu untuk berpecah belah.

“Alhamdulilah semua pilihan raya telah selesai… Tahniah kepada yang menang dan tahniah juga pada yang kemenangannya ditangguh. Yang menjadi kerajaan, pastikan kita melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan yang menjadi pembangkang pastikan menjadi pembangkang yang kuat dan progresif membawa suara rakyat.

“Kepada parti Barisan Nasional (BN) iaitu parti saya sendiri, tahniah kerana Allah menjadikan kita sebahagian dari kerajaan, tetapi jangan lupa bahawa kita tetap kalah. Muhasabah dan cari punca kenapa kita kalah tetapi apa yang sangat penting ketika ini ialah kita tidak mampu untuk berpecah belah,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka, jika mampu bersatu dan tidak lagi berpecah-belah malah terus kekal setia, tentunya kemenangan bakal muncul pada satu hari nanti.

“Asas kebangkitan perjuangan ini adalah jangan berpecah belah, jika kita mampu untuk bersatu-padu dan menginsafi apa yang telah berlaku, saya yakin Insya-Allah Allah akan berikan kita kemenangan suatu hari nanti.

“Terus kekal setia dan rasional kerana setia dan rasional itu mahal harganya. Terus istiqomah dan jangan pernah lupa kalah itu dugaan Allah menang itu juga dugaan Allah. Sakit sama mengaduh,luka sama menyiuk,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.