Selamat Maju Jaya Kabinet Baharu, Tangani Permasalahan Mendesak Dihadapi Rakyat

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendoakan agar Kerajaan Perpaduan yang dibentuk diberikan kemudahan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Beliau juga berharap kepimpinan baharu yang telah dilantik menganggotai Kabinet untuk menangani sebaiknya permasalahan mendesak yang dirasai oleh rakyat pada ketika ini termasuk kos sara hidup.

“Sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), saya kini mempunyai lebih banyak masa untuk terus menyumbang kepada perjuangan tanpa berada dalam Kabinet. Buat rakan-rakan pimpinan khasnya daripada Barisan Nasional (BN) yang menganggotai Kabinet, saya ucapkan selamat maju jaya.

“Saya tahu Kerajaan baru ini harus menangani dan menyelesaikan pelbagai isu serta cabaran yang amat mendesak demi rakyat dan negara.

“Antaranya, kos sara hidup dan kedudukan ekonomi semasa. Saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab, dipermudahkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Bendahari Agung BN dan Ketua UMNO Bahagian Sembrong menerusi hantaran sama meluahkan pandangan bahawa setiap cabaran yang dilalui UMNO/BN pada ketika ini perlu ditangani sebaiknya mengambil kira perjuangan didokong selama ini.

Sambil meluahkan kesetiannya bersama parti, beliau mengakui cabaran yang dilalui ini perlu mengambil kira mood serta sentimen rakyat dan penerimaan akar umbi parti.

“Walaupun tidak mudah, kita harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang. Saya tidak mahu menunding jari menyalahkan sesiapa dan saya juga tidak menyalahkan parti. Saya orang perjuangan dan akan tetap istiqamah demi UMNO – dulu, kini dan selamanya.

“Kebetulan dua siri pilihan raya bagi DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai baru sahaja selesai. Saya sedang mengkaji dan meneliti keputusan bagi dua kerusi tersebut untuk melihat mood serta sentimen rakyat khususnya arah sokongan yang diberikan.

“Penting untuk memahami dinamik sokongan tersebut terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti. Apatah lagi, ia banyak bergantung kepada ahli-ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.

“Ini mesti diberi perhatian, kerana saya percaya dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.