BN Menang DUN Tioman… Ismail Sabri Ucap Tahniah Kepada Semua Terlibat

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain di atas kemenangannya.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ismail Sabri turut mengucapkan sekalung penghargaan buat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan para jentera yang bertungkus-lumus untuk memastikan kemenangan calon BN di kerusi tersebut.

“Tahniah BN! Tahniah Datuk Seri Mohd Johari Hussain, calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tioman atas kemenangan BN di DUN Tioman pada kali ini.

“Sejuta penghargaan kepada Menteri Besar Pahangan selaku Pengerusi BN dan seluruh jentera BN yang bertungkus lumus demi kemenangan calon BN di DUN Tioman.

“Terima kasih kepada pengundi DUN Tioman yang telah memilih BN,” katanya.

BN mempertahankan kerusi DUN Tioman pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dengan majoriti 573 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim yang memperoleh 7,507 undi.

Empat calon lain iaitu Sulaiman Bakar (Bebas) memperoleh 58 undi, Osman A. Bakar dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) 79 undi dan Mohd. Fadzli Mohd. Ramly dari Pakatan Harapan (PH) dengan 784 undi.

Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru pada PRU15 yang diadakan semula ekoran kematian calon PN, Md. Yunus Ramli yang meninggal dunia di Hospital Rompin akibat komplikasi jantung pada 19 November lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.