Buang Masa, Negara Tidak Perlu Tukar Kerajaan – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Negara tidak perlu pertukaran kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dan segala usaha untuk meruntuhkannya perlulah dihalang, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Jelasnya, dakwaan mengenai Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) boleh bekerjasama tanpa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengambil alih Putrajaya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak relevan.

“Kononnya tanpa Muhyiddin, BN-PN boleh bekerjasama untuk mengambil alih Putrajaya dari Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Gabungan BN-PN untuk membentuk kerajaan baharu sudah tidak lagi relevan. Tidak perlu difikirkan. Ia membuang masa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim wajar diberi peluang mentadbir negara sehingga tamat penggal.

“Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim wajar diberi peluang mentadbir negara sehingga tamat tempoh PRU ke-16. Isu PN-BN bergabung jika PPBM tidak lagi dipimpin oleh Muhyiddin adalah mengarut. Muhyiddin dan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sama sahaja. Dua-dua suka ‘tikam belakang’.

“Negara tidak perlu pertukaran kerajaan sebelum PRU ke-16. Ia mesti dihalang. UMNO bukan ‘pak turut’ dalam kerajaan baru. Tetapi UMNO adalah partner yang boleh bekerjasama demi rakyat,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan bahawa salah seorang pemimpin PPBM yang enggan dikenali percaya bahawa UMNO akan lebih terbuka untuk bekerjsama dengan PN sekiranya gabungan tersebut dipimpin oleh pemimpin yang lebih pragmatik seperti Hamzah Zainuddin.

Jelas individu tersebut, UMNO tahu Muhyiddin mahu menamatkan riwayat parti keramat tersebut maka agak mustahil sekiranya kerjasama berlaku ketika beliau masih mengepalai PN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.