Kerajaan Perpaduan: Lupakan Segala Perbezaan, Wujudkan Masyarakat Majmuk – Ahmad Zahid

KULIM, 6 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat untuk melupakan sejarah lampau dan segala perbezaan yang wujud sebelum ini dalam mewujudkan masyarakat majmuk di Malaysia.

Tegasnya, perkara yang lepas perlu dibiarkan berlalu dan jalan yang mahu dituju adalah perpaduan kukuh di kalangan rakyat Malaysia.

“Kita harus menghormati agama lain sebagaimana kita mahu agama lain menghormati agama kita. Itulah hidup masyarakat majmuk di Malaysia yang perlu kita wujudkan sekarang. Lantas dari itu, jangan lagi menoleh ke belakang, jangan melihat sejarah-sejarah lampau di kalangan kita.

“Jangan melayani lagi segala perbedaan seperti dahulu kerana yang lepas itu biar lepas dan kita mahu tuju jalan ke hadapan lebih terang. Jalan yang mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Inilah jalan yang kita rentas,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Mega Ayuh Malaysia sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Parlimen Padang Serai di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengakui bahawa UMNO/BN telah menerima pukulan yang hebat semasa PRU ke-15 lalu dan belajar daripada kesilapan lampau.

“Kita tahu bahawa 30 kerusi itu adalah satu pukulan yang berat kepada UMNO/BN. Kita belajar daripada kesilapan. Insya-Allah telahan saya walaupun saya bukan belajar ilmu Nujum Pak Belalang, tetapi jika ditakdirkan kami memilih bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) maka berakhirlah hayat politik UMNO/BN.

“Namun atas istikharah yang kita buat, saya mengambil risiko tetapi saya bersama-sama dengan kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO. Akhirnya kita mempunyai keyakinan bahawa Allah memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin kita, pemimpin yang boleh diletakkan harapan oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Ahmad Zahid turut mengingatkan rakyat bahawa tiada kawan dan musuh yang kekal dalam dinamika politik dan ianya diterjemahkan atas sifat keikhlasan sesama rakyat Malaysia meskipun berbeza parti sebelum PRU ke-15.

“Maka atas dasar itulah, kita harus melupakan perbedaan yang wujud di antara kita. Baru dua minggu yang lalu saya kutuk mereka, mereka kutuk saya. There is no permanent friend and no permanent enemy. Tidak ada kawan dan musuh yang kekal. Itu pepatah, tetapi rupa-rupanya di Malaysia pepatah itu diterjemahkan atas sifat keikhlasan kita sebagai rakyat Malaysia walaupun berbeda parti sebelum itu.

“Jika penyatuan dan perpaduan ini dapat kita teruskan, Insya-Allah Malaysia akan lebih gemilang. Ekonomi kita akan lebih baik, kos sara hidup akan dapat diatasi, pelaburan asing akan lebih banyak masuk, banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan manakala pelabur-pelabur dalam negeri akan mempunyai kepercayaan yang lebih kepada kepimpinan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara kita ini Insya-Allah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada bekas calon BN di kerusi Parlimen Padang Serai yang berbesar hati menarik diri demi memberikan laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak.

“Sebagai Pengerusi BN, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada bekas calon BN, Datuk C Sivaraj yang telah menarik diri sebagai calon di Padang Serai ini.

“Walaupun beliau telah bekerja hampir tiga tahun untuk memenangi kerusi ini, atas penarikan diri itu saya yakin beliau telah meminta seluruh jentera dan penyokong untuk memberikan sokongan kepada Dr Mohamad Sofee Razak sebagai calon kita bersama di P.017, Padang Serai ini,” katanya lagi.

PRU ke-15 di kawasan Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon yang disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya daripada PH akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 Nov.

Perebutan kerusi Parlimen Padang Serai akan menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C. Sivaraajh (BN), Datuk Azman Nasrudin (PN) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar ialah Mohd Bakhri Hashim, mewakili Warisan, dan calon bebas Sreanandha Rao. Bagaimanapun pada 2 Dis lepas, BN bersetuju memberi laluan kepada PH di kerusi Parlimen berkenaan. – UMNO Online